KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang menyenaraikan enam calon berwibawa yang akan dipilih parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang dijadualkan, 7 Oktober nanti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua nama enam calon terbabit akan dibawa untuk diteliti dan dibincangkan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
“Ramai calon yang berpotensi, berkaliber dan berwibawa dan enam calon ini akan diteliti dan akan diputuskan sebelum atau pada 17 September nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka, Jerantut dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Tasik Chini di Swiss-Belhotel di sini hari ini.
Ketika ditanya siapa antara enam calon berwibawa terbabit, Wan Rosdy enggan mengulas lanjut.
“Yang berwibawalah.. yang disebut-sebut. Jadi kita akan pilih yang terbaik antara yang terbaik. Saya tidak boleh bagitaulah. Antara enam orang itulah,” ujarnya.
Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Allahyarham bersaing empat penjuru dan memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad. – UTUSAN