Bertubuh kerdil bukan penghalang jadi graduan cemerlang - Utusan Malaysia

Bertubuh kerdil bukan penghalang jadi graduan cemerlang

MOHD. Zahari Ismail (dua dari kanan) menyampaikan plak dan sijil Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Sijil Terapi Kecantikan dan Spa kepada Engku Intan Baizira Engku Maleki pada Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: SEORANG graduan orang kurang upaya (OKU) kerdil, Engku Intan Baizira Engku Maleki, 23, dipilih sebagai penerima Anugerah Graduan Cemerlang Kolej Komuniti Negeri Johor sempena Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini hari ini. 

Engku Intan yang berasal dari Mersing, Johor itu merupakan graduan Sijil Terapi Kecantikan dan Spa dari Kolej Komuniti Kluang, Johor dan hanya memiliki ketinggian 137 sentimeter.

“Alhamdulillah, walaupun bertubuh kecil, ia tidak menjadi penghalang untuk saya menyambung pelajaran dan menamatkan pengajian dalam bidang ini.

“Saya kini ada melakukan kerja separuh masa bagi mempraktikkan pembelajaran saya dalam bidang kecantikan iaitu melalui perkhidmatan spa bergerak yang dijalankan di sekitar Mersing. 

“Pendapatan yang diterima juga amat baik, saya mengenakan bayaran serendah RM45 untuk rawatan muka dan boleh mencecah ratusan ringgit pada satu-satu masa,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 di Dewan Tuanku Canselor USIM di sini.

Anugerah yang diterimanya itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Mohd. Zahari Ismail. 

Dalam pada itu, Engku Intan yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu, berhasrat untuk membuka sebuah kedai yang memberikan perkhidmatan spa kecantikan.

Sementara itu, seorang graduan OKU penglihatan, Nasrul Izzuddin Zulkifli, 22, dari Kolej Komuniti Kluang pula berkata, dia terkejut apabila dipilih untuk menerima anugerah graduan cemerlang bagi Sijil Servis Kenderaan Ringan.

“Saya mempunyai masalah rabun dan hanya boleh menggunakan mata sebelah kiri manakala mata di bahagian kanan tidak dapat melihat sepenuhnya. 

“Sepanjang melanjutkan pelajaran, saya tidak menghadapi masalah. Bagaimanapun, saya perlu menggunakan tulisan yang agak besar bersaiz 14 untuk melihat nota atau menyediakan bahan pembelajaran,” katanya yang rabun penglihatan sejak berusia empat bulan. 

Jelasnya lagi, dia tidak menganggap kecacatan sebagai beban dan ia hanya sebagai satu cabaran untuk mencapai cita-cita dalam bidang yang digemari. 

“Sekarang saya sudah bekerja di sebuah kilang dalam bidang automatif dan saya berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang ini nanti,” katanya. 

Seramai 1,476 graduan dari Kolej Komuniti Negeri Johor, Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka menerima sijil dan diploma masing-masing pada majlis konvensyen tersebut.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN