PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuatkuasa mulai 1 September sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Bernas dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran matawang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.
Katanya, faktor-faktor itu secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.
“Bernas telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Walau bagaimanapun, akibat ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini,” katanya.
Pasaran beras beberapa negara termasuk ASEAN melonjak pada minggu lalu ke tahap tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 10 tahun lalu, berikutan tindakan India melarang eksport beras putih bukan basmati, baru-baru ini.
Misalnya harga gred beras Vietnam lima peratus pecah pada 27 Julai melonjak ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, iaitu AS$550 – AS$575 (RM2,500 – RM3,470) setiap tan, menandakan harga tertinggi sejak 2011.
Sementara itu, pasaran beras Thailand juga mengalami lonjakan harga yang selari apabila pada 27 Julai, harga gred beras Thailand lima peratus pecah melonjak pada AS$605-AS$610 (RM2,742 – RM2,765) setiap tan, mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 11 tahun lalu.
Kelmarin, Filipina mengumumkan penetapan harga siling beras bertujuan memastikan kos makanan ruji negara itu terkawal, sekali gus menangani kenaikan harga runcit yang membimbangkan apabila siling bagi beras biasa dan spesial ditetapkan masing-masing 41 peso (RM3.37) serta 45 peso (RM3.69) sekilogram dengan kadar terbabit berkuat kuasa hingga keputusan lanjut oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
Dalam pada itu, Bernas memaklumkan bahawa pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi menjamin bekalan beras yang stabil untuk Malaysia kerana keselamatan makanan negara dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan syarikat itu.
“Walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, Bernas kekal utuh dan berdaya saing. Kami turut mengambil langkah bersesuaian dalam meningkatkan dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk. Ini adalah peranan kami sebagai pengawal tunggal bagi padi dan beras negara.
“Bernas kekal komited untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi, bertindak sebagai penyerap kejutan bagi menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa dari melanda negara,” katanya.
Kata Bernas, pihaknya akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala.
“Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah,” kata Bernas. – UTUSAN