PASIR MAS: Lebihan bendera serta poster parti politik yang masih belum diturunkan dalam tempoh dua minggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu adalah hak individu dan tidak melibatkan jentera parti.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, kesemua wakil bagi calon yang bertanding pada PRN lalu telah menanggalkan bendera, poster dan kain rentang parti masing-masing mengikut tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) tidak menerima sebarang laporan mahupun rampasan berkaitan bendera, poster dan kain rentang parti politik yang belum diturunkan.
“Mungkin ada lagi lebihan bendera serta poster parti politik yang belum diturunkan kerana ia dipasang oleh individu dan bukan daripda jentera parti.
“Kalau tiada sebarang laporan, kita akan terus menjalankan operasi menurunkan bendera dan poster berkenaan dan setakat ini jumlah berkenaan tidak banyak,”katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dataran Bandar Baru Lubok Jong di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin.
Hilmi memberitahu, perkara itu di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya di mana sebarang bentuk lambang parti politik perlu dibuang dalam tempoh dua minggu selepas tarikh mengundi iaitu pada 12 Ogos lalu.
“Kita (Pihak Berkuasa Tempatan) telah mengenakan bayaran deposit untuk iklan dan dibayar kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Deposit sebanyak RM5,000 itu akan dirampas sekiranya mana-mana parti gagal untuk menurunkan sebarang lambang parti politik mereka dalam tempoh yang ditetapkan, namun setakat ini tiada sebarang laporan mahupun rampasan dilakukan,”ujarnya.-UTUSAN