Barang keperluan di Pasir Gudang cukup - Lilis - Utusan Malaysia

Barang keperluan di Pasir Gudang cukup – Lilis

PEMERIKSAAN dan pemantau oleh pegawai penguat kuasa di beberapa premis perniagaan di Pasir Gudang mendapati bekalan barangan keperluan masih mencukupi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri ini menafikan dakwaan kekurangan bekalan barang keperluan di Pasir Gudang seperti yang dimaklumkan Ahli Parlimennya, Hassan Abdul Karim.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, barang keperluan seperti minyak masak, tepung dan telur ayam masih ada dan mudah diperoleh dan pemantauan serta pemeriksaan dijalankan di beberapa pasar raya di Pasir Gudang mendapati tidak timbul isu kekurangan seperti yang didakwa.

“Hingga kini tiada aduan rasmi diterima oleh pihak kita terhadap isu kekurangan bekalan keperluan ini. Kita telah mengambil tindakan proaktif, membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan terhadap bekalan barang keperluan asas di semua peringkat rantaian pengedaran melibatkan pengilang, pemborong serta peruncit di negeri ini,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang menggesa pihak berkenaan mengadakan jualan Rahmah di kawasan Parlimen Pasir Gudang bagi mengatasi masalah ketiadaan barang keperluan asas.

Menurut Lilis Saslinda, pihaknya  juga telah berterusan mengadakan Program Jualan Rahmah (PJR) di kesemua 26 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di pasar raya di Pasir Gudang pada minggu ini.

“Seterusnya PJR di Pasir Gudang akan diadakan secara luar premis dan bergerak (mobile) pada 29 dan 30 September ini di Taman Pasir Putih dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana.

“PJR kali ini menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus daripada harga biasa setempat seperti gula, tepung, telur ayam, ikan, ayam, beras, buah-buahan, sayuran dan lain-lain,” katanya.

Maklumat tentang lokasi dan tarikh PJR boleh disemak dalam laman web dan platform media sosial Facebook KPDN Johor.

Dalam itu, beliau menasihati orang ramai supaya membeli barangan mengikut keperluan dan tidak berlebihan agar tidak menimbulkan suasana pembelian panik dalam kalangan pengguna.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya