Baitul Mahabbah tempatkan kanak-kanak dari depot Imigresen - Utusan Malaysia

Baitul Mahabbah tempatkan kanak-kanak dari depot Imigresen

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua dari kiri) merasmikan premis Baitul Mahabbah, Jabatan Imigresen Malaysia yang terletak di Premis Tadika Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) KLIA di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini membuka premis Baitul Mahabbah yang menjadi pusat penempatan sementara sejumlah kanak-kanak warga asing yang sebelum ini berada di depot-depot tahanan Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembukaan pusat penempatan sementara itu yang terletak di Premis Tadika Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai di sini itu, merupakan satu sejarah dan selaras dengan komitmen kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status.

“Premis ini kita tempatkan sejumlah kanak-kanak yang sebelum ini berada dalam depot Imigresen, kita keluarkan sebahagian daripada mereka untuk tempatkan di premis ini. Kanak-kanak ini sama ada mereka bersama penjaga ataupun tidak ada penjaga.

“Sebagai permulaan, kita ada seramai 23 orang kanak-kanak dan 10 orang penjaga. Di sini kami sasarkan seramai 80 orang kanak-kanak apabila ia beroperasi sepenuhnya. Premis ini adalah bersifat penempatan sementara sehinggalah urusan dokumentasi mereka dapat disiapkan dan akhirnya mereka akan dihantar pulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan premis tersebut hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Bangunan Baitul Mahabbah, Jabatan Imigresen Malaysia yang terletak di Premis Tadika Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) KLIA di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Jelas Saifuddin Nasution lagi, premis Baitul Mahabbah yang pertama tersebut kini menempatkan kanak-kanak warga asing dan ibu mereka dari Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih, Depot Imigresen KLIA dan Depot Imigresen Eco Millennium, Beranang.

Katanya, daripada jumlah kanak-kanak tersebut, seramai sembilan orang merupakan kanak-kanak lelaki dan 14 orang kanak-kanak perempuan dan seterusnya JIM akan memindahkan seramai 31 orang lagi kanak-kanak bersama 16 orang penjaga dalam waktu terdekat.

“Penempatan sementara ini kita sesuaikan mengikut peraturan dan undang-undang dan gerakkan operasi ini bersandarkan kepada kerjasama agensi kerajaan dan juga agensi bukan kerajaan.

“Sekarang ini terdapat seramai 1,382 orang tahanan kanak-kanak (warga asing) yang berumur 18 tahun ke bawah, ini adalah sasaran kita untuk diberikan tempat perlindungan yang lebih mempunyai ihsan. Usaha ini tidak akan berhenti di sini dan kami akan teruskan pembukaan (Baitul Mahabbah),” tambahnya.

Ujar beliau lagi, antara kemudahan yang disediakan di pusat penempatan sementara tersebut termasuklah ruang pembelajaran, bilik pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta taman permainan kanak-kanak.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya