ASEAN, China perlu pelbagaikan strategi perdagangan, pelaburan - PM - Utusan Malaysia

ASEAN, China perlu pelbagaikan strategi perdagangan, pelaburan – PM

Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di Nanning, Guangxi, China hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya negara-negara ASEAN dan China mempelbagaikan strategi dalam perdagangan dan pelaburan di rantau ini pada masa akan datang.Perdana Menteri menyifatkan, ia berdasarkan kepada kedudukan China yang telah menjadi rakan dagangan utama ASEAN selama 14 tahun berturut-turut dan kekal sebagai destinasi eksport utama Malaysia, dengan eksport melebihi RM200 bilion, meningkat 9.4% kepada RM210.6 bilion pada 2022.

Menurut beliau, ASEAN juga kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan antarabangsa, mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5% pada 2022 dengan 4.6% diunjurkan untuk 2023.

“Oleh itu, adalah penting bagi ASEAN dan China untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan kita.

“Walaupun wujudnya ketegangan geopolitik dan pelbagai faktor ketidakstabilan lain, kita perlu menumpukan kepada usaha kolektif terhadap soal keamanan, kestabilan, kemakmuran serantau, dan memupuk hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di Nanning, China hari ini.

Pada masa sama, beliau juga memberi penekanan berhubung Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi ASEAN kerana ia melibatkan isu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang penting buat negara-negara ASEAN.

PELUANG

“PMKS menyumbang 85% kepada peluang pekerjaan, 44.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 18% kepada eksport negara di ASEAN,” katanya.

Justeru, beliau optimis CAEXPO akan terus menjadi pemangkin kepada ahli perniagaan di negara ini, selain memupuk kerjasama perdagangan, dan merangsang pemulihan ekonomi sebagai simbol kerjasama di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA).

“Sejak sedekad lalu Inisiatif Belt and Road memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara rantau ini, malah Malaysia memulakan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia, yang dibangunkan di bawah konsep “Dua Negara, Taman Berkembar” , ia adalah projek BRI yang wajar dicontohi.

“Kita percaya di Asia, dengan pelaburan dan perdagangan terus menjadi asas hubungan ini, kita berkongsi masa depan dan visi, hubungan kita melangkaui hubungan dan pemahaman antara tamadun yang merupakan konsep Madani. Saya berharap dapat memupuk hubungan ini dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya