APAD lantik dua lagi syarikat pengendali bas ekspres laluan Seremban-KL - Utusan Malaysia

APAD lantik dua lagi syarikat pengendali bas ekspres laluan Seremban-KL

J. ARUL Kumar (kanan) ketika mengadakan lawatan ke Terminal 1, Seremban pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak dua buah lagi syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres bagi laluan Seremban-Kuala Lumpur menjadikan keseluruhan tiga syarikat menjalankan perkhidmatan itu dan beroperasi di Terminal 1, Seremban.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telahpun melantik dua syarikat terbabit sekali gus diharapkan dapat mengatasi masalah yang dihadapi pengguna antaranya berkaitan tempoh masa menunggu bas yang lama terutama pada waktu puncak.

“Bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur masih menjadi pilihan ramai penduduk sekitar daerah ini terutamanya yang bekerja di Lembah Klang. Aduan yang diterima sebelum ini adalah berkaitan tempoh masa menunggu yang lama disebabkan hanya satu operator sahaja menyediakan perkhidmatan bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur. 

“Untuk mengatasi masalah ini, APAD telah melantik dua buah lagi operator untuk menyediakan perkhidmatan bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur. Kini perkhidmatan tersebut mempunyai tiga operator dengan 15 buah bas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Terminal 1 di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, masalah kekurangan jumlah perjalanan bas ekspres yang membawa penumpang dari Seremban ke Kuala Lumpur pada setiap hari akan dicari jalan penyelesaian termasuk menambah lesen dan permit kepada pengendali yang berminat.

Isu tersebut disifatkan Siew Fook sebagai kritikal dan amat menjejaskan orang ramai terutama mereka yang tinggal di Seremban dan menjadikan perkhidmatan itu untuk ke tempat kerja di ibu negara.

Akhbar ini pada pada bulan Mac lalu turut melaporkan kekecewaan penumpang bas ekspres laluan Seremban-Kuala Lumpur yang sering mengalami masalah kelewatan perkhidmatan itu pada setiap pagi.

Penumpang mendakwa, faktor hanya sebuah syarikat sahaja yang menjalankan perkhidmatan untuk laluan tersebut menyebabkan pihak pengurusan bersikap sambil lewa dan akhirnya menyusahkan penumpang.

Arul Kumar sementara itu menjelaskan, selepas ini, terdapat tiga buah syarikat yang akan beroperasi pada waktu puncak iaitu dari pukul 5 pagi sehingga 7.30 pagi (Seremban ke Kuala Lumpur).

Tambahnya, bagi waktu puncak pada waktu petang iaitu dari pukul 4.30 petang sehingga 8.30 malam (Kuala Lumpur ke Seremban) perkhidmatan bas akan disediakan untuk setiap 15 minit manakala bagi waktu luar puncak adalah 30 minit. 

“Ini akan menyelesaikan masalah tempoh masa menunggu yang lama. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bilangan pengguna bas ekspres untuk laluan Seremban ke Kuala Lumpur adalah 2,000 orang setiap hari dan kini hanya dalam 650 orang sahaja setiap hari.

“Bagaimanapun, diharap dengan menyediakan perkhidmatan bas ekspres yang lebih baik dijangka bilangan ini akan meningkat pada masa akan datang. Saya juga akan mengikuti pelaksanaan perkhidmatan bas ekspres ini secara berterusan agar ia dapat dilaksanakan seperti mana yang dirancang,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya