APAD batal lesen syarikat lori sebabkan kematian enam beranak - Utusan Malaysia

APAD batal lesen syarikat lori sebabkan kematian enam beranak

KEADAAN Perodua Alza dan lori yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, 1 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lesen pengendali syarikat lori yang menjadi punca kemalangan sehinggq meragut nyawa enam beranak di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, 1 September lalu dibatalkan serta-merta.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali syarikat Sepadu Ikhlas Sdn Bhd. susulan siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan.

“Pembatalan lesen berkenaan atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan pemanduan secara berbahaya.

“Kedua, gagal mematuhi syarat lesen keperluan keselamatan seperti dalam senarai di bawah pemeriksaan dan audit keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hasil siasatan turut mendapati, ketika kemalangan berlaku, lesen kenderaan bermotor (LKM) bagi lori tersebut sudah tamat tempoh.

APAD turut mendapati syarikat berkenaan mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Selepas pembatalan tersebut, sebarang transaksi berhubung lesen pengendali bagi syarikat berkenaan tidak dibenarkan.

“Kementerian Pengangkutan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” tegas APAD.

APAD turut mengingatkan semua pengendali berlesen untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dan memastikan aspek keselamatan dan kebajikan pemandu terjaga setiap masa.

Dalam kejadian pukul 6.37 petang, 1 September lalu, enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan itu ialah pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat anak mereka, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Selain lori dan Perodua Alza, tiga kenderaan lain turut terlibat dalam nahas itu, iaitu sebuah Honda HRV, Proton Wira dan Perodua Bezza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN