Aniaya anak: Bapa kandung, ibu tiri dipenjara dua tahun - Utusan Malaysia

Aniaya anak: Bapa kandung, ibu tiri dipenjara dua tahun

MUHAMMAD Aizat Zolkepli (dua dari kanan) dan Siti Norshakina (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas tuduhan menganiaya anak mereka yang berusia enam tahun.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sepasang suami isteri dijatuhkan hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah menganiaya anak mereka sendiri dalam kejadian di Bahau, Jempol, baru-baru ini.

Tertuduh, pekerja kilang, Muhammad Aizat Zolkepli, 27, dan isterinya, Siti Norshakina Mohd Noor, 31, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Hakim turut menetapkan pasangan tersebut bon berkelakuan baik selama dua tahun dan menjalankan khidmat masyarakat selama 80 jam.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya telah menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang di bawah jagaan mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan mulai bulan lalu sehingga 12 September lalu di antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam bertempat di sebuah rumah di Rumah Rakyat Jambu Lapan, Bahau, Jempol.

Oleh itu, tertuduh telah kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 September, pengadu menerima maklumat dari orang awam terdapat kanak-kanak mengalami luka di badan dan melarikan diri dari rumah.

Pengadu dan anggota polis telah pergi ke rumah berkenaan dan mendapati mangsa dalam keadaan cedera serta parut di badan. Mangsa kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Muhammad Aizat dan Siti Norshakina dalam rayuan mereka memohon diringankan hukuman kerana masih mempunyai tiga orang anak yang masih kecil.

Fong Xi kemudiannya menegaskan kes berkenaan merupakan kes serius dan percaya hukuman berat yang diberikan turut akan memberi amaran kepada orang awam.

Pihak pendakwaan juga memohon hakim mengambil kira kecederaan mangsa yang merupakan anak kandung bagi tertuduh pertama dan anak tiri bagi tertuduh kedua.

“Sebagai ibu bapa sepatutnya tertuduh menjaga anak-anak dengan baik dan bukannya memukul. Mangsa hanya berumur enam tahun dan pada umur itu, mangsa tidak mampu mempertahankan dirinya. 

“Disebabkan sering dipukul, mangsa telah melarikan diri. Jadi pihak pendakwaan mohon hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri ditangkap selepas dipercayai bertindak kejam mendera kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, berkata, yang merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik telah dipukul oleh ibu tiri dan bapa kandung dengan menggunakan tangan, ditendang, dan menggunakan senduk kayu.

Mangsa telah menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah dan doktor telah mengesahkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan pada tubuh badan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN