REMBAU: Anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dirempuh oleh seorang penunggang motosikal ketika bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, semalam, mengambil pendirian untuk memaafkan suspek.
Muhammad Nur Hakim Mohd. Razip, 29, yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun bersama JPJ berkata, walaupun kejadian itu menyebabkan dirinya mengalami kecederaan, dia tetap berharap agar suspek yang berusia 25 tahun itu dapat berubah ke arah yang lebih baik.
Memberitahu lebih lanjut insiden tersebut, bapa kepada empat anak termasuk kembar lelaki berusia sembilan bulan itu memberitahu, kejadian berlaku pantas dan dia sememangnya cuba mengelak daripada dirempuh penunggang motosikal tersebut.
“Bukan saya sengaja mahu menahan (motosikal) saya dalam keadaan terkejut, saya cuba elak namun mungkin terkena sebelah kaki. Badan saya jatuh pada dia (suspek) dahulu, baru saya jatuh ke jalan raya, kalau tidak jatuh pada dia, saya pasti melambung ke jalan raya dan mesti kecederaan lebih parah.
“Sebelum itu, kami sedang membuat pemeriksaan lesen, cukai jalan dan suspek berada di laluan motosikal. Dalam jarak beberapa meter, dia sudah ‘rem’ (memulas pendikit) motosikalnya dan terus ke arah saya, saya cuba elak namun tidak sempat,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf di Kuarters JPJ Pedas, di sini, hari ini.
Jelas Muhammad Nur Hakim lagi, susulan kejadian itu kakinya bengkak dan terdapat koyakkan di bahagian tisu belakang kepala akibat terhantuk topi keledar.
“Bagi saya kejadian semalam tidak sedikit pun mematahkan semangat saya bagi menjalankan tugas dengan lebih baik lagi,” katanya.
Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, kejadian berkenaan bukan hanya melibatkan nyawa anggota dan pegawai JPJ malahan melibatkan nyawa orang ramai.
“Saya mahu menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati, peka dan patuhi peraturan agar tidak memberikan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Pada masa yang sama, apa yang berlaku kepada anggota JPJ ini ia tidak akan melumpuhkan semangat kami untuk meneruskan dan melaksanakan apa sahaja operasi yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya mengambil kira semua faktor sebelum mengadakan sekatan jalan raya di mana-mana lokasi.
“Setiap kali melaksanakan sekatan jalan raya, tentunya kami mempunyai perancangan dan kami akan menyemak dari segi prosedur operasi standard (SOP), keselamatan kawasan dan kekuatan anggota,” jelasnya lagi.-UTUSAN.