BENTONG: Anak Felda Chemomoi di Pelangai di sini, Datuk Amizar Abu Adam, 50, menjadi pertaruhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, pada 7 Oktober ini.
Pengumuman pemilihan Ahli Jawatankuasa UMNO (AJK) Bahagian Bentong tersebut diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO, di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini malam ini.
Amizar yang juga Bendahari Agung Kami Anak Felda (KAF), pernah menjadi calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu di kerusi DUN Ketari namun tewas dengan majoriti 120 undi kepada calon DAP.
Nama Amizar disebut-sebut sebagai calon PRK DUN Pelangai ekoran kejayaan pada PRU15 lalu mendapat undi yang signifikan di Ketari yang merupakan kawasan kubu kuat DAP.
Pada PRU14 lalu, DAP menang dengan majoriti 3,710 undi di Ketari namun majoriti itu dikurangkan oleh Amizar kepada 120 undi sahaja pada PRU15. Calon Pakatan Harapan (PH) waktu itu dari DAP, Keong Siong mendapat 9,722, manakala Amizar (BN) mendapat 9,602 undi.
Ketika membuat pengumuman itu, Wan Rosdy berkata, pemilihan Amizar dibuat hasil perbincangan dan penelitian bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan calon PN, Kasim Samat (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi. – UTUSAN