Amira Aisya perlu letak jawatan atau sertai Amanah - Aminolhuda - Utusan Malaysia

Amira Aisya perlu letak jawatan atau sertai Amanah – Aminolhuda

Aminolhuda Hassan dan Amira Aisya Abd. Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz didesak supaya menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) atau meletak jawatan, sekali gus mengosongkan kerusi berkenaan.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara tersebut perlu dibuat  Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu memandangkan kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini adalah milik Amanah.

Menurutnya, kerusi berkenaan diserah kepada Muda atas dasar kerjasama politik yang dicapai kedua-dua pihak semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tahun lalu.

“Muda kena ingat, kerusi DUN tersebut diberikan kepada mereka atas ihsan Amanah sebelum ini. Jadi apabila Muda tarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan, dia perlu lepaskan kerusi kembali kepada Amanah.

“Itu tindakan paling bermaruah yang boleh dilakukan Amira Aisya. Apabila Presiden mereka bersikap sedemikian, mereka seolah-olah kacang lupakan kulit, tindakan mereka membelakangi kerjasama yang telah disepakati sebelum ini,” katanya, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Syed Saddiq memaklumkan Muda bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga, sekali gus menarik sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan berkata, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang telah disampaikan.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, PH Johor telah bersetuju memberikan enam kerusi DUN kepada Muda semasa PRN Johor lalu.

“Kerusi DUN tersebut ialah Machap, Puteri Wangsa, Bukit Kepong, Parit Raja, Bukit Permai dan Tenang. Kepimpinan Muda sepatutnya tidak membuat sebarang langkah populis dan bertindak gopoh.

“Sebaliknya, mereka perlu ingat kemenangan di DUN Puteri Wangsa adalah kerana PH Johor bersetuju memberikan laluan dan menyokong calon mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya