ADUN Kota Lama serah kepada peguam isu saman MB Kelantan

ADUN Kota Lama serah kepada peguam isu saman MB Kelantan

HAFIDZAH Mustakim (tiga dari kiri) ketika mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan Pasar Kubang Pasu di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim menyerahkan kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut berkait dengan saman ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang melabelkan beliau dan Mohd. Syahbuddin Hasyim (ADUN Galas) sebagai kumpulan melawan perjuangan Islam.

Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) negeri itu berkata, tindakan tersebut susulan tuntutan permohonan maaf itu sudah melepasi tempoh tujuh hari sebagaiaman yang disyaratkan.

“Setakat ini tempoh tujuh hari sudah berlalu dan saya telah menyerahkan perkara ini kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya. 

“Kita tunggulah perkembangannya nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Komunikasi Tindakan Setempat di Pasar Kubang Pasu, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mohd. Syahbuddin Hasyim dan Dr. Hafidzah menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Mohd. Nassuruddin Daud yang melabelkan mereka sebagai melawan perjuangan Islam.

Kedua-dua wakil itu turut meminta ADUN Meranti memohon maaf kepada semua pengundi di Galas dan Kota Lama yang telah menyokong BN (10,742) dan PH (9,691) di kawasan berkenaan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Terdahulu Mohd. Nassaruddin melabelkan kemenangan gabungan BN dan PH di Galas serta Kota Lama sebagai melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu, di sini.

Ucapan ADUN Meranti itu kemudian tular sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet di laman sosial.

Dalam perkembangan lain, Dr. Hafidzah memaklumkan pertemuannya bersama Mohd. Syahbuddin dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) menjadi titik mula usaha menggembleng harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat pembangunan seimbang di negara ini.

“Fokus perbincangan adalah mengenai peranan JPP dalam membantu kami yang mewakili Kerajaan Perpaduan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk merealisasikan harapan Perdana Menteri.

“Kita bincang mekanisme terbaik supaya hasrat itu benar-benar dapat diturunkan ke bawah khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama serta Galas dan akhirnya dapat mensejahterakan seluruh rakyat,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya