SEREMBAN: Seramai 34 orang daripada 36 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah masing-masing hari ini.
Kesemua mereka berbuat demikian di hadapan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 pagi tadi.
Ia diketuai oleh Menteri Besar yang juga ADUN Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun dan diikuti oleh ADUN Pertang Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Kemudian ia disusuli oleh barisan ahli Exco dan ADUN-ADUN yang lain termasuk lima ADUN pembangkang.
ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ADUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun tidak hadir bagi atur cara tersebut atas urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan.
MK Ibrahim memberitahu, angkat sumpah dan menandatangani surat sumpah bagi kedua-dua ADUN tersebut akan diadakan di hadapan beliau dengan seberapa segera.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos lalu, gabungan kerjasama parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah memenangi sebanyak 31 kerusi DUN di negeri ini daripada keseluruhan 36 buah kerusi yang dipertandingkan.
Ia sekali gus menyaksikan kerjasama parti dalam Kerajaan Perpaduan itu membentuk majoriti dua pertiga dalam DUN Negeri Sembilan. Perikatan Nasional (PN) pula memenangi baki lima lagi kerusi DUN.
Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang Ke-15 akan diadakan pada 9 hingga 13 Oktober nanti.-UTUSAN.