JOHOR BAHRU: Kesatuan Ragbi Johor (JRU) akan menganjurkan Karnival Ragbi Johor di Stadium Ragbi Johor. Mount Austrin, di sini pada 15 hingga 17 September ini.
Presidennya, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, karnival tiga hari itu akan disertai sebanyak 96 pasukan sekolah.
Beliau berkata, pasukan yang bertanding bukan sahaja dari negeri ini, malah datang dari Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang dan Melaka.
“Bagi edisi ke-11 ini, tiga kategori lelaki akan dipertandingkan berdasarkan peringkat umur, iaitu Piala Datuk Bandar (bawah 16 tahun), Piala JCorp (bawah 14 tahun) dan Piala Milo (bawah 11 tahun) serta Piala Milo (bawah 16 tahun) untuk perempuan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Berjaya Waterfront, di sini.
Noorazam yang merupakan Datuk Bandar Johor Bahru memberitahu, juara bagi kategori lelaki 16 tahun dan 14 tahun, masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai RM2,000 serta piala, manakala kategori lelaki 11 tahun dan perempuan 16 tahun ialah RM1,000 serta piala.
Beliau berkata, karnival tersebut adalah yang pertama diadakan selepas kali terakhir pada 2019, sebelum negara dilanda Covid-19 yang bertujuan merakyatkan lagi sukan ragbi di negara ini, khususnya dalam kalangan rakyat Johor.
Menurutnya, beberapa pemain senior pasukan Johor termasuk pemain import dari Fiji dan Uzbekistan akan mengadakan sesi bertemu peminat bagi memeriahkan lagi karnival tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Sukan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Pada majlis tersebut, Noorazam turut menerima tajaan daripada para penaja termasuk daripada syarikat Detik Hartamas Sdn. Bhd., sebagai penaja utama, Johor Corporation (JCorp), Safwa Global Venture (M) Sdn. Bhd., Nestle (M) Sdn. Bhd., Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan KFC Malaysia.
KPJ Healthcare (M) Bhd., pula merupakan penaja perubatan, manakala Rugger District Berhad dan AST Sport adalah penaja pakaian kejohanan. – UTUSAN