KOTA BHARU: Sejarah baharu tercipta di Kota Bharu hari ini apabila seramai 700 wanita menjayakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dengan mengelilingi kawasan bandar bagi menzahirkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Menariknya, perarakan sambil membawa pulut semangat dan sepanduk itu melibatkan Geraknita Alumi 4B Kelantan, Wanita UMNO Kelantan dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama.
ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, perarakan itu menjadi plaftrom menyampaikan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Kita ingin mengulangi dan menzahirkan perasaan penduduk Madinah di zaman hijrah Rasulullah SAW dahulu sekali gus membawa mesej bahawa inilah sebenarnya konsep madani yang ingin kita bawa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.
Dr. Hafidzah memberitahu, rakyat Kelantan sudah lama dimomokkan kononnya konsep Malaysia Madani berasal dari barat dan perarakan tersebut membuktikan dakwaan tersebut tidak tepat.
“Rakyat sebenarnya menunggu gerakan pembaharuan dan peremajaan negara ke arah mensejahterakan rakyat. Sebab itu kota sokong tema sambutan Maulidul Rasul pada tahun ini, iaitu Perpaduan Teras Malaysia Madani.
“Konsep perpaduan dibawa kerajaan pada hari ini sebenarnya merentasi parti politik dan fahaman masing-masing. Saya menitiskan air mata kerana dapat rasa semangat perjuangan untuk meninggikan martabat wanita yang dicetuskan oleh Rasulullah SAW sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Kelantan, Norwahida Patuan berkata, rata-rata para peserta dilihat begitu teruja menjayakan perarakan ini kerana sambutan sudah lama sambutan ini tidak diadakan di Kelantan.
“Gabungan tenaga tiga pertubuhan wanita ini akan berterusan dan perarakan ini akan dijadikan acara tahunan di Kelantan. Insya Allah tahun depan kita adakan lagi perarakan Maulidul Rasul dengan penyertaan lebih ramai kaum wanita.
“Rasanya sudah lebih 20 tahun sambutan dan perarakan bersempena sambutan Maulidur Rasul tidak diadakan di negeri ini dan ini merupakan kali pertama kaum wanita berarak sejak saya menjadi Ketua Wanita UMNO Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN