KUANTAN: Seramai 109 penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima anugerah merangkumi 101 Anugerah Cendekia Bitara (ACB), enam Anugerah e-Pengajaran Universiti (APU) dan dua Anugerah Akademik Universiti (AAU) yang dikhususkan kepada warga akademia universiti terbabit yang terbukti berwibawa dan berketokohan dalam lapangan pengajaran serta pembelajaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, kerajaan negeri sentiasa terus menyokong usaha UMPSA untuk mencapai aspirasi penyelidikan dan inovasi melalui pelbagai insentif dan bantuan kewangan, yang merangkumi rantaian nilai inovasi, daripada peringkat perancangan sehinggalah peringkat pengkomersialan.
“UMPSA dan kerajaan negeri kini sedang mempergiat kolaborasi bersama dalam agenda keterjaminan makanan, sumber mineral, dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya ketika berucap pada Majlis Cendekia Bitara di Hotel Grand Darul Makmur di sini semalam.
ACB melibatkan penerima anugerah penerbitan buku (55), penerbitan jurnal (49), geran industri (sembilan), kertas polisi (empat) dua penerima masing-masing untuk geran antarabangsa, perundingan dan projek penyelidikan manakala masing-masing satu penerima geran agensi, harta intelek yang dikomersial serta kualiti penyelidikan.
AAU pula melibatkan Anugerah Pengajaran (Kategori Kejuruteraan) dan Ahli Akademik Harapan.
Sementara itu, APU menyaksikan kategori Anugerah Micro-Credentials Terbaik (lima penerima) dan seorang penerima Anugerah e-Learning.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan UMPSA ini akan terus diperkukuh dan dimantapkan.
“Sebagai universiti teknologi terunggul di Malaysia amnya dan Pahang khususnya, pihak UMPSA bersedia berkongsi dan menyumbang kepakaran staf dan penyelidik mengikut bidang fokus kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, sinergi ini bukan sahaja merentas dan melangkau perspektif bakat, sumber manusia dan kewangan semata-mata tetapi turut melibatkan pemindahan kepakaran, penyelidikan, perkongsian ilmu serta pemantapan amalan terbaik. – UTUSAN