Zeti nafi penubuhan Pasukan Petugas Khas adalah untuk jatuhkan

Zeti nafi penubuhan Pasukan Petugas Khas adalah untuk jatuhkan Najib

ZETI AKHTAR AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menafikan bahawa penubuhan Pasukan Petugas Khas pada 2015 adalah untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya.

Sebaliknya pada ketika penubuhan pasukan tersebut, tiada sebarang petunjuk bahawa segala transaksi membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempunyai kaitan dengan bekas Presiden UMNO itu.

“Pada ketika Pasukan Khas ditubuhkan, tiada sebarang pengetahuan bahawa terdapat kaitan di antara 1MDB, dana (RM2.28bilion) dan akaun peribadi Perdana Menteri (Najib).

“Kami (pasukan petugas khas 2015) juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) secara diam-diam menyiasat mengenai Perdana Menteri. Ia tidak pernah dinyatakan (oleh SPRM) dalam mesyuarat pasukan.

“(Tugas) pasukan khas adalah untuk menyiasat 1MDB kerana terdapat kebimbangan yang tinggi mengenai hutangnya. Sekiranya 1MDB gagal melunaskan hutangnya, implikasi yang terpaksa ditanggung adalah berlarutan.

“Ia bukan sahaja terpaksa ditanggung oleh mereka pada masa kini, tetapi juga anak dan cucu mereka,,” katanya.

Ketika dirujuk mengenai penglibatannya dalam Majlis Penasihat Negara yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mei 2018 ketika menjawat jawatan Perdana Menteri buat kali kedua, Zeti turut menafikan bahawa penubuhan majlis terbabit berkaitan dengan 1MDB.

Zeti menjelaskan Majlis Penasihat Negara ditubuhkan bagi membincangkan mengenai hala tuju ekonomi dan kewangan negara.

“Jika hendak membincangkan 1MDB, apa gunanya untuk masukkan Tan Sri Robert Kuok dalam majlis tersebut?,” kata Zeti.

Wanita terbabit turut menyatakan, sepanjang menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Negara selama 100 hari, tidak sekalipun badan tersebut membincangkan mengenai 1MDB.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian merujuk kepada kenyataan yang dibuat Tun Mahathir bahawa beliau tidak akan melantik Zeti untuk menyertai Majlis Penasihat tersebut sekiranya mengetahui ahli keluarganya terlibat dalam skandal 1MDB.

Belum sempat Zeti menjawab, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan menyatakan: “Rasanya lebih baik awak tanya soalan tersebut kepada Tun Mahathir berbanding saksi ini.”

Sesi soal balas kembali hangat apabila Muhammad Shafee mendakwa tiada hasil siasatan berhubung penglibatan suami dan anak-anaknya yang dikatakan menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kerana beliau (Zeti) dilindungi individu tertentu.

Zeti juga dengan tegas mengulangi jawapannya bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai dakwaan bahawa ahli keluarganya menerima wang daripada Jho Low mahupun 1MDB.

“Saya tidak mendapat perlindungan daripada sesiapa. Saya cuma rakyat biasa.

“Awak boleh bercakap (mendakwa) sampai muka awak jadi biru tetapi saya masih tidak tahu apa-apa mengenainya. Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan,” tegas wanita berkurung biru itu. 

Perbicaraan bersambung esok. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya