ISKANDAR PUTERI : Yayasan Petronas berjaya melonjakkan pemikiran kreativiti pelajar seawal 13 tahun untuk mencipta pelbagai inovasi berasaskan sains dengan adanya program Yayasan Petronas Coding4All: Maker Faire.
Pengurus Kanan Petronas Wilayah Selatan Ainal Ghauth Abd Latib berkata, Yayasan Petronas yang merupakan cabang impak sosial Petronas berhasrat untuk memberikan impak yang mapan, meningkatkan kualiti hidup dan hasil sosio-ekonomi komuniti di seluruh Malaysia melalui tiga teras iaitu teras pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat dan alam sekitar.
Menurut beliau, program Yayasan Petronas Coding4All: Maker Faire ini memberi peluang kepada para pelajar khususnya mereka yang berada di tingkatan satu dan dua dengan mereka cipta apa saja inovasi yang berada di fikiran mereka berasaskan STEM iaitu sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi.
“ Program Yayasan Petronas Coding4All (C4A) ini merupakan program rintis yang diperkenalkan pada tahun lepas (2022).
“Ia merupakan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) serta Petrosains sebagai rakan pelaksana, ” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Majlis Penyampaian Hadiah di Universiti of Southampton Malaysia, Iskandar Puteri di sini.
Menurutnya program C4A yang diperkenalkan ini untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar menengah rendah khususnya tingkatan satu pada tahun lepas daripada golongan terpilih untuk mendapatkan pendedahan awal mengenai teknologi industri.
Program ini juga dapat membentuk kemahiran abad ke-21 dan teknikal melalui program yang berasaskan kepada robotik, inovasi dan Design Thinking dengan menggunakan pendekatan eksplorasi dan pembelajaran tidak formal.
Sepanjang tempoh pelaksanaan sejak bulan Julai pada tahun lepas, para pelajar telah melalui modul-modul yang diperkenalkan seperti pendedahan kepada “Computer Literacy and Computational Thinking”, pembelajaran “Coding” Bersama Scratch, robotik, pendedahan kepada Internet of Things (IoT), serta berpeluang untuk membangunkan projek inovasi tersendiri.
“Pada sesi hari ini dalam modul yang terakhir iaitu Maker Faire di mana tujuan utama adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan kemahiran 4C iaitu Communications, Critical Thinking, Collaboration dan Creativity, serta mengukuhkan keyakinan diri untuk mempamerkan hasil produk inovasi sendiri.
Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah Yayasan Petronas Coding4ALL Maker Fair ialah Timbalan Pengarah Pembelajaran Jabatan Pendidikan Johor Mohd Hanafi Samad, Ketua Operasi Yayasan Petronas Tengku Noraida Tengku Mahmood dan Pengarah Program Petrosains Norhana Hamim.-UTUSAN