Yakin tidak berlaku DUN 'tergantung' di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Yakin tidak berlaku DUN ‘tergantung’ di Negeri Sembilan

ANTHONY Loke Siew Fook sewaktu berucap pada program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah, Jelebu hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: DAP Negeri Sembilan yakin tidak akan berlaku situasi ‘tergantung’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 berlangsung pada hari Sabtu ini.

Pengerusinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, situasi tersebut mengambil kira telah wujudnya kerjasama dan persefahaman di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini sebelum memasuki pilihan raya.

Jelas beliau, malah strategi kerjasama di antara PH-BN ketika ini telah mengukuhkan kekuatan dan  menyaksikan kesemua calon yang ditampilkan kedua-dua parti berada dalam kedudukan boleh menang.

“Kita tahu pastinya kali ini gabungan kekuatan BN dan PH akan memberikan kekuatan baharu dan dapat diterjemahkan dalam sokongan undi maka kami yakin kesemua kawasan calon BN dan PH boleh menang di Negeri Sembilan.

“Kalau kita lihat trend pengundian itu memang jelas, bahawa di Negeri Sembilan ini, sokongan adalah sama ada BN ataupun PH termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu. Kalau digabungkan kedua-dua kekuatan ini dalam satu kawasan, sudah tentu calon Kerajaan Perpaduan boleh menang.

“Tidak akan timbul ‘hung assembly’, sebab kita ada persefahaman, menang sahaja, BN dan PH, calon-calon ini akan bersama tubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, tidak akan timbul soal kita kena hadapi keadaan ‘hung assembly’ seperti PRU yang lalu di peringkat Parlimen kerana persefahaman sebelum kita masuk bertanding,” katanya.

Siew Fook yang juga calon PH di kerusi DUN Chennah berkata demikian kepada pemberita selepas program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sementara itu, ditanya kerjasama jentera di antara BN dan PH sepanjang kempen PRN kali ini, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP memberitahu sangat berpuas hati dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepada BN termasuk kepada calon dari DAP.

“Memang tiada masalah daripada segi kerjasama jentera, semua negeri berjalan dengan baik, di Selangor saya turun dan lihat kerusi-kerusi campuran, jentera UMNO keluar membantu calon kami umpamanya di kerusi yang kami berikan tumpuan iaitu di DUN Sungai Pelek dan Kuala Kubu Bharu. Kedua-dua kerusi ini mempunyai jumlah pengundi Melayu yang ramai.

“Pihak Perikatan Nasional (PN) memang mainkan strategi sebab letak calon Melayu, sebab situ kawasan majoriti Melayu lebih 50 peratus jadi jentera UMNO membantu kami di Sungai Pelek, sebab itu saya rasa kerjasama ini dapat kukuhkan kekuatan dan tidak jadi masalah untuk kita pertahankan kerusi tersebut,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya