SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka akan disertai dengan jumlah wakil rakyat wanita paling ramai selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 ini.
Jika mengambil kira kesemua calon wanita yang ditampilkan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang kini bekerjasama dijangka akan menang di kerusi masing-masing, jumlah wakil rakyat wanita di DUN Negeri Sembilan akan menyaksikan peningkatan.
Ia membentuk kira-kira 14 peratus daripada jumlah keseluruhan 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kelak.
Calon-calon wanita yang ditampilkan PH-BN di Negeri Sembilan ialah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid (Juasseh), Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim (Pilah) Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang) dan Norwani Ahmat (Paroi).
Kelima-lima mereka akan mempertahankan kerusi tersebut yang disandang oleh parti masing-masing.
Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan berkata, golongan wanita kini semakin diterima dalam arena politik serta mampu menarik minat pengundi.
Jelas beliau, ia dilihat melalui penerimaan serta sambutan yang cukup positif dalam kalangan pengundi sejak hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 diadakan.
Katanya, jika bilangan ADUN wanita di negeri ini bertambah, ia sekali gus mendekati sasaran dan hasrat kerajaan penyertaan golongan wanita ditingkatkan kepada 30 peratus khusus dalam bidang politik dan urus tadbir negara termasuk sebagai calon pilihan raya.
“Ini menunjukkan satu keputusan wanita semakin diterima oleh masyarakat sebagai pemimpin (politik). Kini semua parti sudah boleh mengeluarkan pemimpin wanita masing-masing,” katanya.
“Sekiranya kelima-lima calon wanita ini menang dalam PRN ini, saya yakin kesemuanya mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, Nicole Tan yang juga Ketua Wanita PH Negeri Sembilan berkata, jika lima calon wanita PH-BN yang ditampilkan menang, ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah.
“Seingat saya sebelum ini, paling ramai pun dalam dua orang sahaja wakil wanita, ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah.
“Memang sudah lama kita memberi hujahan bahawa peratusan pengundi wanita yang melebihi 50 peratus mesti dilambangkan (di dalam Dewan) dan ini akan menjadi permulaan yang bagus,” katanya lagi.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, Perikatan Nasional turut menampilkan dua orang calon wanita iaitu di Amrina Mohd. Khalid (Senaling) dan Yong Li Yi (Repah).
Pada penggal yang lalu, hanya terdapat dua orang wakil rakyat wanita di DUN Negeri Sembilan iaitu Nicole Tan dan Mary Josephine Pritam Singh di Rahang.-UTUSAN.