UTM sedia jadi pusat robotik negara - Utusan Malaysia

UTM sedia jadi pusat robotik negara

AHMAD FAUZI ISMAIL (empat dari kanan) bersama pegawai kanan universiti yang diketuai oleh Merdeka Robot mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan di UTM Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia untuk mendapatkan pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai pusat robotik negara yang menghimpunkan bakat-bakat mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, langkah itu berdasarkan kejayaan dan pengiktirafan yang dikecapi UTM dalam pertandingan robotik (Robocon) sama ada di peringkat dalam negara dan antarabangsa.

Beliau berkata, setiap kali UTM menyertai Robocon peringkat kebangsaan, kebiasaannya hampir keseluruhan anugerah utama yang dipertandingkan dimenangi UTM.

“Berdasarkan rekod pencapaian yang dimiliki dan kepakaran yang ada dalam bidang robotik, UTM sedang berusaha ke arah mendapatkan pengiktirafan kementerian sebagai pusat robotik negara.

“Kertas kerja telah siap, kini tunggu untuk dimuktamadkan sebelum berperanan sebagai penyelaras semua kegiatan robotik negara membabitkan universiti-universiti lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bersama Naib Canselor dan Pelancaran Sambutan Kemerdekaan UTM 2023, di sini hari ini.

Majlis Bersama Naib Canselor itu merupakan platform untuk bertemu dengan warga universiti bagi menyampaikan maklumat terkini berkenaan prestasi dan hal ehwal pengurusan universiti bagi memastikan mereka sentiasa cakna tentang amanah dan tanggungjawab dalam menjayakan agenda nasional sebagai salah sebuah institusi ilmu ulung di negara ini selain memberi fokus bagi memperkasakan pembangunan Teknologi Watan yang dimandatkan KPT tahun ini.

Untuk rekod, UTM pernah mengharumkan nama negara dengan menjuarai Asia Pacific Broadcasting Union (ABU) Robocon di Thailand pada 2016 selepas menewaskan pasukan China di peringkat akhir.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, pusat robotik negara itu membolehkan UTM menjadi penyelaras bagi semua kegiatan robotik negara yang melibatkan pelbagai universiti berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Jika pusat robotik negara itu dapat direalisasikan, ia akan membolehkan kita beri tumpuan dalam bidang kepakaran di setiap universiti masing-masing seperti perubatan dan sebagainya, tidak mahu ia bercampur-aduk. Apa yang penting ialah kita tonjolkan kepakaran kerana dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti-universiti, malah juga kepada masyarakat, ekonomi dan negara,” katanya.

Katanya, UTM akan mewakili negara dalam ABU ROBOCON 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada hujung bulan ini dengan mempertaruhkan pasukan yang diketuai Prof. Dr. Mohd. Ridzuan Ahmad sebagai pengurus dan enam penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN