JELEBU: Dakwaan berlakunya peralihan sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini dilihat hanyalah propaganda pihak pembangkang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, hasil turun padang beliau bertemu dengan pengundi-pengundi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini mendapati sokongan orang Melayu masih tetap bersama BN dan UMNO.
Jelas beliau, malahan pemahaman ahli-ahli UMNO terhadap hubungan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga semakin baik.
“Ini adalah propaganda yang dimainkan oleh PN, trend sokongan daripada PRU14 sampai PRU15 lalu membukitkan bahawa sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN masih kekal.
“Apabila saya turun ke bawah di setiap DUN dan kawasan, sokongan orang Melayu dan pemahaman orang Melayu terhadap kerjasama diantara BN dan PH juga semakin hari semakin baik,” katanya kepada pemberita pada program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah di sini hari ini.
Yang hadir sama, calon PH bagi DUN Chennah yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Jalaluddin yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu dan calon BN di DUN Pertang memberitahu, hasil sokongan dan penerimaan tersebut, beliau yakin sokongan terhadap PH dan BN di negeri tetap kekal sama seperti pilihan raya umum yang lalu.
“Berdasarkan penelitian dan kajian serta berdasarkan laporan yang diterima, kita (PH dan BN) akan mendapat keputusan yang sangat baik,” katanya lagi.-UTUSAN.