KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang menjadikan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) sebagai perintis dalam usaha melengkapi keperluan pustaka pusat pengajian itu melalui sumbangan daripada dana wakaf.
Ia bagi memantapkan lagi pustaka tersebut dengan koleksi pendidikan yang komprehensif selain pembaharuan fasiliti untuk pembelajaran penuntut di kolej itu.
Pengurus Besar Kanan, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Datuk Halidan Md. Daud berkata, susulan kejayaan itu nanti, pihak Wakaf Pahang dapat mengembangkan lagi program seumpamanya di institusi pengajian lain di negeri ini.
Menurutnya, sebagai permulaan pihak Wakaf Pahang sudah menyalurkan dana wakaf RM50,000 pada Januari lalu, kepada kolej berkenaan.
“Usaha dilakukan ini untuk memantapkan lagi perpustakaan di UCYP… Kita sebenarnya nak mengusahakan dana RM100,000 untuk kelengkapan di sini.
“Jadi di bahagian pertama ini kita keluarkan RM50,000 daripada tabung wakaf… tabung ini disumbangkan oleh orang ramai jadi kita telah melaksanakan hasrat pewakaf.
“Namun begitu ia telah ditukarkan kepada buku, jadi mudah-mudahan ia dapat dimanfaatkan oleh anak-anak yang belajar di sini,” katanya.kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sumbangan Pemantapan Perpustakaan UCYP di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Halidan berkata, bagi melengkapkan lagi sasaran sumbangan wakaf di perpustakaan kolej itu, pihaknya turut berkolaborasi dengan warga UCYP bagi menggerakkan usaha mengumpul baki dana yang diperlukan.
Jelasnya, pelbagai program akan diadakan termasuk penganjuran seminar-seminar bagi memajukan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan pengetahuan pembangunan wakaf yang diusahakan.
“Bagi memantapkan lagi usaha tersebut, kita juga membuka satu akses penyaluran dana projek pembangunan koleksi bahan bacaan bagi perpustakaan UCYP di portal Wakaf Pahang.
“Dengan cara tersebut, orang ramai yang mempunyai hasrat untuk berwakaf boleh menyalurkannya dengan lebih mudah,” katanya. – UTUSAN