JELEBU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat mempunyai naratif yang logik berhubung kenyataannya bahawa keputusan yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri akan membawa perubahan kepada kerajaan di peringkat Pusat.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu, Tan Sri Dr. Rais Yatim berpandangan, mahu tidak mahu, ahli-ahli Parlimen dijangka apa yang disifatkan beliau sebagai ‘berubah kompas’ sekiranya komposisi kemenangan dan kuasa negeri meningkat kepada PN selepas PRN nanti.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu menjelaskan, ini kerana pada waktu itu peluang kedudukan dan hak juga berubah.
“Beberapa peruntukan misalnya di bawah Perlembagaan sama ada di bawah dana disatukan yang kita gunakan bersama, itu masih kuasa di Pusat tetapi cara membelanjakannya atas desakan rakyat di negeri.
“Setelah menang kena didengar, kalau tidak didengar kawan yang menyokong Anwar Ibrahim yang utama iaitu DAP akan goyah lutut juga, itu logik yang saya tengok,” katanya kepada pemberita pada program Santai Anak Muda di Pejabat Bersatu Jelebu, Kuala Klawang hari ini.
Yang hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dua hari lalu, Abdul Hadi terus mendakwa keputusan yang memihak kepada PN pada PRN di enam buah negeri akan membawa perubahan kepada kerajaan di peringkat Pusat.
Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu dikritik kepemimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan sama ada Abdul Hadi memahami Perlembagaan Persekutuan ataupun tidak.
Anwar berkata, kedudukan kerajaan Persekutuan ditentukan ahli Parlimen dan dua pertiga daripada mereka ketika ini menyokong Kerajaan Perpaduan.
Rais dalam pada itu menambah, soal Akta Anti Lompat Parti merupakan sesuatu yang tidak berkaitan daripada perkara yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi.
“Lompat parti soal lain, ini soal mahu mahu memajukan suara rakyat pada dasar-dasar, kita tiada dasar untuk petani dan rakyat di kampung, Dasar Ekonomi Baru entah di mana, jadi dengan menang di enam atau lima negeri, dasar ini boleh dihidupkan kembali
“Dia (kerajaan Pusat) tidak boleh tolak, sebab kita berkait dengan tanah, dengan cukai yang terhad tetapi kuasa itu ada pada kita, oleh itu kita harap menang enam atau lima,” katanya lagi.-UTUSAN.