PASIR PUTEH: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini tidak akan mengubah sokongan Ahli Parlimen sedia ada di bawah Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana 148 ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan sudah terikat dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Menurutnya, meskipun ahli Parlimen berkenaan bertindak untuk melompat parti, kerajaan baharu tidak akan dapat dibentuk sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
“Kalau mereka lompat parti sekalipun , kerusi itu akan kosong..mereka tidak boleh bentuk kerajaan dengan ada surat akuan sumpah atau surat ‘declaration’ sebagaimana yang berlaku sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Perumahan Nelayan Tok Bali di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Barisan Nasional (BN) memberitahu, perkara asas seperti ini seharusnya difahami oleh seorang Presiden parti.
“Presiden sebuah parti sepatutnya mengetahui prinsip-prinsip awal sebuah negara yang membentuk kerajaan secara demokratik
“Saya harap apa yang berlaku di negeri ini (PRN) memang tidak akan pernah mengubah kedudukan kerajaan perpaduan di Putrajaya kerana kita mempunyai 148 ahli parlimen walaupun kerusi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu kosong, kita akan pertahankan pada pilihan raya nanti,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pas percaya kemenangan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini berkemungkinan besar akan mengubah sokongan majoriti rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan dakwaan terdapat parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan akan menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan Pusat sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu ini.
Beliau berkata, dakwaan tersebut bukan sekadar ‘cakap kosong’ sebaliknya perkara tersebut berlaku apabila Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri, Anwar Ibrahim.-UTUSAN