SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memaklumkan beliau tidak dapat keluar berkempen dalam tempoh dua ke tiga hari selepas mengalami Influenza, demam dan batuk teruk.
Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat itu memaklumkan perkara itu menerusi akaun media sosialnya malam ini
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu juga, beliau terpaksa mengikut nasihat doktor untuk tidak keluar berkempen supaya penyakitnya tidak berjangkit dan supaya dirinya dapat berehat.
“Kepada semua pengundi-pengundi di Rantau dan juga pengundi-pengundi di seluruh Negeri Sembilan serta seluruh enam negeri dalam negara serta jentera BN Kerajaan Perpaduan di DUN Rantau dan Parlimen Rembau.
“Saya minta maaf kerana saya down sangat kena Influenza, batuk teruk dan demam. Doktor suruh saya jangan keluar takut berjangkit, dalam dua ke tiga hari ini doktor minta saya banyak berehat,” katanya.
Mohamad dalam nada suara yang tidak sihat turut memohon maaf kepada semua pihak terutama jenteranya di DUN Rantau dan berharap dapat kembali berkempen dan berjumpa semula pengundi selepas sembuh.
“Saya minta maaf banyak-banyak kepada semua, kepada jentera saya minta maaf teruskan gerak kerja di kawasan-kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah saya janji mahu pergi.
“Dalam tiga hari ini saya memang tidak boleh keluar, saya minta maaf banyak-banyak dan berharap dapat berjumpa dengan seberapa ramai pengundi selepas sembuh nanti Insya-Allah.” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Tok Mat akan dicabar oleh Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan dalam pertembungan satu lawan satu.
Sebagai rekod, Mohamad adalah penyandang DUN Rantau sejak 2004 dan memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2018.-UTUSAN.