SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan dakwaan beliau akan dipecat sebagai menteri adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
“Ia tohmahan yang dilemparkan untuk memecah belahkan undi orang-orang UMNO dan BN, jadi orang-orang UMNO dan BN berhati-hatilah kerana mereka mahu pecahkan seboleh mungkin sokongan orang UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Malam Perpaduan Paroi di Senawang, di sini, malam tadi.
Terdahulu ketika berucap, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memberitahu, dakwaan itu timbul selepas dikatakan tidak sehaluan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak turun berkempen bersama Perdana Menteri itu.
“Kementerian Pertahanan paling banyak dapat peruntukan khas daripada Perdana Menteri. Saya minta RM200 juta lulus untuk baik pulih rumah tentera, baru-baru ini askar yang tidak berpencen, Perdana Menteri telah luluskan elaun khas bulanan RM300, iaitu melibatkan hampir 50,000 anggota tidak berpencen.
“Saya minta jet pejuang, kapal perang, radar, kesemuanya lulus, ini pula mahu mengadu domba mengatakan saya akan dipecat sebab saya tidak bersama dalam kempen,” katanya.
Tambah Timbalan Presiden UMNO itu lagi, tohmahan dilemparkan termasuklah berkaitan umat Islam dan orang Melayu akan terancam sewaktu pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Itu sebab macam-macam kata, Islam terancam, Melayu terancam, DAP berapa orang sahaja dalam Kabinet, empat orang sahaja.
“Mahu kata Islam terancam, daripada 29 orang menteri, 19 orang ialah Melayu, Islam, jadi ini semua perkara-perkara yang dibuat yang kadang-kadang boleh menyebabkan orang kata perasaan tidak puas hati dan memecah belahkan rakyat.
“Paling bahaya apabila kita menggunakan isu perkauman dan agama di dalam negara yang berbilang kaum berbilang agama di Malaysia, saya harap orang ramai tidak percaya dengan perkara seperti ini, tidak akan terancam selagi Perlembagaan kita masih utuh dan mahu pindaan Perlembagaan mesti melalui Kabinet dan saya yakin Kabinet tidak akan meluluskannya,” tambahnya.
Mohamad dalam pada itu turut menafikan beliau terlibat dan terdapat konflik kepentingan dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Katanya, dakwaan itu tidak berasas memandangkan keputusan perolehan kapal berkenaan dibuat sebelum beliau menjawat sebagai Menteri Pertahanan.
Oleh itu, beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai satu cubaan membunuh karakter.