Tingkatkan digitalisasi rentas negeri, syarikat, masyarakat - Utusan Malaysia

Tingkatkan digitalisasi rentas negeri, syarikat, masyarakat

FAHMI Fadzil dan Ameer Ali Mydin pada perasmian Program Semarak Gemilang Malaysia Madani -dan Kempen OhMydin! Meriah Bersama Sempena Ulang Tahun Mydin Ke-66 di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Komunikasi dan Digital mahu aspek digitalisasi ditingkatkan merentasi negeri, syarikat dan masyarakat dalam kerangka ekonomi Madani. 

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, sektor ekonomi digital kini semakin mendapat perhatian malah pelaburan dalam bidang ekonomi digital negara telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu hampir RM24 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jelas beliau, ia satu peningkatan yang ketara berbanding jumlah RM7.5 billion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Ekonomi digital ini penting kerana kita menyediakan kesaling hubungan bagi memungkinkan perkhidmatan dan keterlibatan dalam ekonomi digital yang lebih meluas.

“Usaha pihak kementerian adalah menyediakan kemudahan internet hingga tiga peratus di kawasan penduduk yang langsung tidak ada kesalinghubungan, di kampung orang Asli yang tidak dapat diakses internet yang baik, apabila mereka dapat menggunakan internet melalui satelit mereka juga boleh membeli barang-barang melalui dalam talian contohnya dari pasar raya Mydin,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Program Semarak Gemilang Malaysia Madani dan Kempen OhMydin! Meriah Bersama sempena Ulang Tahun Mydin Ke-66 di Seremban 2 di sini hari ini. 

Dalam perkembangan sama, Fahmi turut berazam bagi syarikat tempatan yang berdaya saing dilahirkan di pasaran antarabangsa dengan kerajaan membantu meningkatkan digitalisasi merentasi negeri dan syarikat. 

“Daripada sudut ekonomi, pendigital bakal mengubah cara sesebuah organisasi beroperasi dengan menjadikan teknologi sebagai sebagai teras utama yang membolehkan organisasi untuk beroperasi dengan cekap serta dapat meningkatkan output pengeluaran dengan meminimumkan pembaziran sumber,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, program Semarak Gemilang Malaysia Madani adalah merupakan salah satu program sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di bawah Jabatan Penerangan Malaysia.

Kempen yang berlangsung bermula hari ini sehingga 31 Oktober itu menawarkan penjimatan melalui diskaun barangan, pulangan tunai serta hadiah pelbagai peraduan yang melibatkan kos keseluruhan bernilai RM6.6 juta.

Program ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan dan kerjasama strategik pelbagai pihak khususnya syarikat swasta dalam menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Ia juga bertujuan untuk menyuburkan perasaan cintakan negara dan semangat Malaysia Madani dalam kalangan masyarakat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN