ISKANDAR PUTERI: Tindakan pihak pengawal pantai Singapura yang berterusan mengundang masalah kepada nelayan tempatan di kawasan Pendas dianggap sebagai tindakan yang biadap.
Seorang nelayan mendakwa sebuah bot marin Singapura dengan sengaja melanggar jaring miliknya ketika sedang merentangkan jaring udang di perairan negara berhampiran Jambatan Kedua pada pukul 7 pagi, Isnin lalu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, perkara ini bukan pertama kali berlaku dan perbuatan tersebut seakan-akan provokasi kepada golongan untuk tidak menghampiri sempadan perairan republik itu.
Beliau berkata, tindakan ini bakal menjejaskan mata pencarian kira-kira 100 nelayan yang mencari rezeki dengan menangkap ikan dan menjaring udang di perairan sempadan Johor-Singapura itu.
“Saya rasa ini merupakan satu tindakan yang tidak seharusnya berlaku kerana pada tahun lalu, perkara sama berlaku membabitkan ‘coast guard’ marin Singapura yang bersikap biadap kepada nelayan kita. Kita sebuah negara yang mempunyai kedaulatan dan persempadanan tapi ‘coast guard’ Singapura seolah-olah beranggapan bahawa Selat Tebrau ini mereka punya.
“Mereka dengan sesuka hati masuk perairan kita. Nelayan kita yang mencari rezeki di kawasan itu setiap hari tahu had persempadanan negara, tindakan mereka seperti sengaja mengundang provokasi, saya sangat kesal dengan tindakan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Restoran Terapung Pendas, Gelang Patah, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Faizan Wahid, 42, membuat laporan polis mendakwa jaring miliknya rosak dan koyak setelah dilanggar bot marin Singapura hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM700.
Pandak telah memaklumkan kepada Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh namun masih belum mendapatkan sebarang jawapan daripadanya.
“Jadi, kita mengharapkan kerajaan negeri dan kepimpinan di Pusat khasnya di Wisma Putra dapat melihat isu ini. Ia bukan hanya sekadar nilai jaring yang tidak sampai RM1,000 tetapi menyentuh soal kedaulatan dan perairan kita.
“Kita tak boleh ambil ringan perkara ini (isu sempadan perairan). Ini baru kes kebiadapan ‘coast guard’ marin Singapura, bagaimana pula dengan isu pencerobohan Indonesia ataupun pendatang asing, ini akan memudaratkan negara.
“Saya harap isu ini akan diselesaikan dan kita tidak mahu dilayan seperti ini. Kita khuatir isu ini berulang dan pada ketika itu mungkin berlaku pertengkaran antara kedua-dua belah pihak, kita pula dianggap menceroboh kawasan perairan Singapura,” katanya.
Beliau turut menyeru pihak berwajib khususnya agensi penguat kuasa seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengawal dan mengawasi perairan Selat Tebrau. – UTUSAN