KOTA TINGGI: Tiga wanita warga Singapura maut apabila kereta Honda Freed dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Ladang Cenas, Bandar Tenggara, petang tadi.
Kejadian pukul 1.52 petang itu menyebabkan Toh Poh Kian, 56, Soon Moh Tan, 61, dan Wong Lan Yew, 61, maut di lokasi kejadian.
Pemandu kereta, Ong Cheow Lam, 59, juga warganegara Singapura dan pemandu lori warga tempatan terselamat dalam kejadian itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Norul Fazudin Shafie berkata, seramai enam anggota dengan dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kemalangan itu.
“Kemalangan membabitkan kereta Honda Freed dengan sebuah lori jenis Roll On Roll Off (RORO).
“Tiga penumpang kereta berkenaan, iaitu seorang wanita berusia 56 tahun dan dua wanita warga emas masing-masing berusia 61 tahun parah serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 2.35 petang. – UTUSAN