Tiada tanda retak pada bangunan sebelum tiba-tiba runtuh  - Utusan Malaysia

Tiada tanda retak pada bangunan sebelum tiba-tiba runtuh 

Kesan struktur rasuk pada bumbung sebuah bangunan komersial empat tingkat yang runtuh dan menghempap 10 kenderaan di Kuchai Lama dua hari lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bangunan komersial empat tingkat  di Jalan Kuchai Lama di sini runtuh malam tadi  tiada sebarang tanda-tanda retak.

Pemilik syarikat Malinta Corporation Sdn Bhd, K. Veethasalam ketika ditemui berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang tanda atau keretakan pada bangunan berusia 20 tahun itu ketika bekerja semalam.

“Ketika kejadian, saya tiada di lokasi namun mendapat makluman daripada pihak pengurusan bangunan mengenai runtuhan.

“Kita juga bekerja seperti biasa pada pagi semalam dan tidak ada apa-apa tanda keretakan pada bangunan yang boleh kita nampak. Semua berlaku secara tiba-tiba ketika cuaca juga baik,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, seluruh blok ditutup dan dihentikan operasi termasuk syarikatnya sementara waktu.

“Pejabat saya berada di tingkat empat yang mana pihak polis juga menyatakan keadaan di bahagian tingkat itu tidak selamat,” jelasnya.

Veethasalam yang mempunyai 10 unit di bangunan komersial terbabit berkata, beliau  dan pihak pengurusan bangunan akan mengadakan perbincangan bagi melantik pakar perunding bangunan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dengan segera.

PAKAR

“Kita kena dapatkan satu agensi pakar perunding bangunan yang akan beri keputusan muktamad tentang keselamatan bangunan tersebut.

“Saya juga berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan buat sementara waktu, orang ramai tidak dibenarkan untuk keluar masuk di kawasan sekitar kerana dikhuatiri sisa bangunan akan runtuh,” tambahnya. 

Pada masa sama, pejabat DAP Seputeh antara yang diarahkan untuk berhenti beroperasi dalam bangunan terbabit.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika ditemui bersyukur dan lega kerana insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Saya berada di pejabat saya semalam dan mujur kejadian tidak berlaku pada siang hari. 

“Kalau ia berlaku pada waktu siang, mungkin ramai yang akan tercedera atau mungkin saya dan lebih ramai lagi yang akan terperangkap di dalam bangunan.

“Buat masa ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut manakala pejabat serta semua unit ditutup sementara,” katanya.

Terdahulu dilaporkan akibat kejadian itu, sekurang-kurangnya 10 kenderaan rosak teruk apabila struktur rasuk pada bumbung bangunan  itu runtuh.

Kejadian berlaku pukul 10.40 malam membabitkan Blok A, Bangunan Sri Desa Kuchai di Kuchai Entreprenuers Park,.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pemeriksaan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

“Sebaik dimaklumkan orang awam mengenai kejadian ini, pihak polis mengambil langkah mengepung dan menutup keseluruhan kawasan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya