Tiada lambang parti pada bantuan kerajaan, teguran Perdana Menteri tepat - Utusan Malaysia

Tiada lambang parti pada bantuan kerajaan, teguran Perdana Menteri tepat

ANTHONY Loke Siew Fook menyerahkan cek peruntukan kepada Ramadhawati (dua dari kanan) dan Razal (tiga dari kiri) pada majlis ringkas di SMK Dato' Sheikh Ahmad, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan atas nama dan lambang parti politik adalah tepat perlu diterima semua pihak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, teguran Perdana Menteri itu kepada semua pihak termasuk ahli Parlimen dan semua menteri tidak kira apa juga parti yang diwakili.

“Teguran Perdana Menteri semalam memang tepat sekali, semua pihak harus patuhi, semua pihak, sesiapa pun apabila Perdana Menteri tegur, teguran itu kepada semua parti, ahli Parlimen dan semua menteri tidak kira parti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengetua SMK Dato’ Sheikh Ahmad, Datin Ramadhawati Wahab dan Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Razal Mansor.

Perdana Menteri ketika di Johor Bahru semalam menegaskan, penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan atas nama dan lambang parti politik sebaliknya perlu disalurkan atas nama kerajaan.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, beliau sememangnya sebelum ini telah mengamalkan supaya setiap penyaluran peruntukan kerajaan yang diserahkan hanyalah menggunakan jata negara pada setiap replika cek.

“Sejak dulu pun apabila saya datang, replika cek (diserahkan) memang hanya fokus jata negara sebab ini peruntukan kerajaan, memang teguran Perdana Menteri itu tepat, ini merupakan peruntukan kerajaan, bukannya wang daripada individu atau parti, peruntukan kerajaan kita mesti salurkan mengikut peruntukan kerajaan, hanya ada satu lambang jata negara,” tambahnya.

Sementara itu, menurut beliau, penyerahan peruntukan PMR berjumlah RM 324,668 kepada SMK Dato’ Sheikh Ahmad itu adalah bagi menampung dana pembinaan sebuah dewan terbuka berbumbung untuk kegunaan warga sekolah tersebut.

“Saya sebelum ini telah mengumumkan untuk meluluskan permohonan pihak sekolah dengan menggunakan dana daripada PMR di bawah Parlimen Seremban di mana setiap kawasan Parlimen, Ahli Parlimen kerajaan, kami ada dana peruntukan PMR yang boleh disalurkan untuk kegunaan dalam kawasan terutamanya sekolah dan sebagainya.

“Ini merupakan peruntukan pusat khidmat jadi pusat khidmat ini bukan atas nama saya ia Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seremban, ia satu institusi, bukan selama-lamanya saya duduk di kerusi Ahli Parlimen Seremban, pada  masa depan mungkin orang lain, (peruntukan) ini atas kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Seremban, peruntukan kerajaan jadi kita pakai jata negara,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya