JELEBU: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kecewa dengan keputusan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang mengumumkan keluar dari DAP pagi ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut sememangnya telah dijangka dan menganggap tiada mana-mana individu lebih besar daripada parti.
“Saya rasa dukacita apabila seorang pemimpin telah banyak diberikan peluang oleh parti, tiga penggal menjadi Timbalan Ketua Menteri, namun apabila tidak diberikan kerusi maka keluar parti, itu saya rasa dukacita.
“Tetapi apapun perjuangan parti akan diteruskan, individu dan pemimpin datang dan pergi yang penting parti kekal kuat, tidak ada mana-mana individu lebih besar daripada parti jadi terpulang kepada beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah di sini hari ini.
Pagi ini, Ramasamy yang juga penyandang kerusi DUN Perai mengumumkan keluar dari DAP dan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.
Beliau memberitahu telah mengutuskan surat bagi tujuan berkenaan kepada Siew Fook dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Siew Fook memberitahu, pengumuman Ramasamy itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kempen DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.
“Tidak jejaskan apa-apa, memang kita sudah jangka apabila beliau tidak dicalonkan beliau tidak akan bantu kempen kami, sepanjang kempen pun beliau tidak bantu, memang sudah jangka.
“Dua orang pengikutnya juga bertanding sebagai calon Bebas maka kami tahu daripada segi tingkah laku sudah dijangkakan.
“Saya rasa tidak sedap apabila seorang yang telah menerima banyak peluang daripada partim diberikan ruang untuk jadi Timbalan Ketua Menteri tetapi tidak sampai dua minggu tidak dicalonkan, beliau telah keluar partim terpulang kepada rakyat untuk menilai,” katanya lagi.-UTUSAN.