MELAKA: Prinsip-prinsip dalam konsep Malaysia Madani perlu diterjemahkan dengan baik terhadap pembangunan ekonomi dan sahsiah di negeri ini.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, konsep berkenaan menjadi asas penting dalam konteks pembangunan dan peradaban negara yang menyentuh aspek keseimbangan dan kemampanan.
Kata beliau, keseimbangan dalam erti kata lain memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa sebarang diskriminasi atau penindasan.
“Manakala Gagasan Malaysia Madani adalah untuk melahirkan Malaysia yang maju dan tinggi tamadunnya di mana kemajuan ini bukan dinilai dari segi kebendaan atau ekonomi semata-mata, malahan lebih penting kemajuan dari segi pemikiran dan peradaban.
“Besar harapan saya agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam pembangunan ekonomi dan sahsiah negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Lahir Ke-74 Yang Dipertua Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai dasar dan program dirangka kerajaan negeri, Mohd. Ali berkata, perkara itu perlu dipantau secara telus untuk memastikan perancangan pembangunan berjalan lancar.
Menurutnya, setiap dasar dan program dirancang harus mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat bagi memastikan tahap kualiti hidup yang lebih baik.
“Saya difahamkan kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan pelan perancangan pembangunan melalui Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) dengan menstrukturkan semula mengikut portfolio terkini Kerajaan Perpaduan Melaka.
“Saya juga berharap semua jabatan dan agensi yang terlibat perlulah mengenal pasti sumber pembiayaan bagi melaksanakan projek atau program tersebut. Selain itu, ia (pelaksanaan) mestilah dipantau secara telus untuk memastikan perancangan pembangunan berjalan lancar,” ujarnya. – UTUSAN