Tekong bot karam belum ditemukan - Utusan Malaysia

Tekong bot karam belum ditemukan

ANGGOTA Maritim Malaysia meneruskan operasi mencari dan menyelamat tekong warga Thailand yang dipercayai hilang apabila bot nelayan tempatan digunakan karam di kedudukan 26.8 batu nautika di Perairan Kuala Pahang, Khamis lalu. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tekong warga Thailand yang dipercayai hilang apabila bot nelayan tempatan digunakan karam di kedudukan 26.8 batu nautika di Perairan Kuala Pahang di sini Khamis lalu belum ditemukan sejak operasi mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan sejak 5 Ogos lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, operasi hari keempat hari ini membabitkan pencarian dengan keluasan sektor kira-kira 77.35 batu nautika termasuk membuat pemantauan di sekitar lokasi bot karam.

“Sebanyak dua aset Maritim Malaysia iaitu Kilat 50 dan perkasa 1245 digunakan dalam operasi tersebut dan turut dibantu oleh bot nelayan tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia turut dibawa dengan menaiki bot ronda Maritim Malaysia bagi menyertai operasi pencarian itu yang bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 12 tengahari tadi.

Ketika operasi dan tinjauan dijalankan, keadaan cuaca baik namun sedikit berangin dengan kelajuan 10 hingga 20 kilometer sejam (kmsj) dan laut berombak antara satu meter hingga 1.5 meter.

Mengulas lanjut, Kamal Ariffin berkata, dalam kejadian tersebut, dua daripada tiga krew nelayan dan mendakwa bot dinaiki mereka dipukul ombak serta terbalik sekitar pukul 2 pagi, pada hari kejadian.

“Dalam kejadian itu, dua mangsa yang terselamat itu sempat berpaut pada tong minyak dan hanyut kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Kedua-duanya ditemukan oleh bot nelayan tempatan yang berhampiran sekitar pukul 9 pagi sebelum diselamatkan.

“Berdasarkan hasil siasatan awal, bot tersebut karam sepenuhnya dan mereka tidak pasti sama ada tekong, Mat Riffin Awang Kechik, 66, turut terjun ke laut atau tidak kerana ketika insiden tersebut tekong berada di dalam anjungan bot,” katanya.

Dalam kejadian bot karam tersebut, mangsa yang selamat adalah Sabudin Panoh, 51, dan Mohd. Hafizi Awang Kecik, 30, kedua-duanya juga merupakan warga Thailand.

Sementara itu, sebarang aduan dan maklumat berkenaan kejadian terbabit boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 095717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya