PASIR MAS: Kira-kira 150 keluarga yang tinggal berhampiran pinggir Sungai Kelantan di Taman Sri Jias dan Taman Adabi di sini berdepan dengan ancaman tebing runtuh yang semakin menjadi-jadi sekali gus menyaksikan mereka dibelenggu ketakutan.
Dakwa penduduk cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan hati mereka menjadi gundah-gulana memikirkan masalah itu memandangkan kawasan tersebut merupakan laluan air longkang yang dialirkan terus ke sungai berhampiran rumah.
Wakil penduduk, Zaitun Hashim, 60, berkata, peringkat awal runtuhan tebing sungai itu mula dikesan pada 2019 lalu namun situasi kembali berlaku pada awal tahun ini.
Menurutnya, pergerakan tanah di kawasan tebing sungai itu terus dikesan berlaku sehinggalah runtuhan berlaku pada 2 Julai lalu.
“Keadaan bertambah runcing apabila runtuhan dalam skala yang agak besar kembali berlaku pada 20 Ogos lalu. Sejak itu, hati saya menjadi makin tidak keruan memikirkan soal keselamatan termasuk penduduk di sini.
“Sejak itu kawasan rumahnya kini hanya berjarak 23 meter dari tebing Sungai Kelantan. Susulan kejadian itu, satu laporan telah pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zaitun memberitahu, pihak JPS memaklumkan agensi itu akan memasang kanvas sebagai langkah awal mengatasi masalah di kawasan Taman Jias.
Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah membuat pemantauan dengan memasang tali amaran bagi menghalang penduduk menghampiri kawasan tersebut bagi menggelakan bahaya.
Bagi penduduk di Taman Adabi Wan Izuddin Wan Ibrahim, berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah tersebut.
Katanya, dia khuatir sekiranya langkah awal tidak diambil berkemungkinan besar runtuhan lebih besar akan terus berlaku sekali gus menyaksikan berlaku kehilangan harta benda selain membahayakan penduduk.
“Jadi saya berharap tindakan segera dapat diambil dengan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir Mohamad Nasriff Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, perkara tersebut sudah berada dalam pengetahuan JPS dan agensi itu telah membawa masalah berkenaan ke peringkat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.-UTUSAN