Tangani segera kekurangan pelajar dalam aliran sains

Tangani segera kekurangan pelajar dalam aliran sains

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah segera perlu diambil oleh kerajaan bagi menangani fenomena kekurangan pelajar dalam aliran sains kerana ia akan menjejaskan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, isu tersebut amat kritikal apabila jumlah pelajar dalam aliran tersebut semakin merosot.

Kata beliau, harapan untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan dapat dicapai sekiranya tiada langkah diambil bagi memastikan jumlah pelajar yang mengambil aliran sains tidak terus menurun.

“Sumber manusia dalam bidang aliran sains diperlukan untuk memajukan sesebuah negara sekiranya ingin menjadi negara maju. Tidak ada negara di dunia yang menjadi maju, berpendapatan tinggi, hebat dari segi produktiviti dan sebagainya adalah negara yang tidak berteraskan kemajuan Sains serta teknologi.

“Bagaimana sumber manusia kita ini hanya kurang daripada 19 peratus? Bagaimana kita mahu memajukan teknologi dan sains dalam negara? Itu perkara yang mustahil berlaku sekiranya kita tidak segerakan selesaikan isu ini,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebook.

Terdahulu, terdapat kajian yang dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan mendapati hanya 19 peratus sahaja pelajar memilih untuk mengambil aliran sains apabila masuk ke tingkatan empat.

Malah, Utusan Malaysia juga melaporkan, beberapa sekolah terutama di luar bandar sukar memenuhi kapasiti bagi kelas aliran sains yang disyaki turut berpunca daripada kehilangan minat dalam kalangan pelajar.

Dr. Anuar berkata, kehilangan minat pelajar terhadap subjek sains adalah bermula sejak di sekolah rendah lagi.

“Mereka ni diberikan konsep atau asas pendidikan sains yang telah menyebabkan mereka jadi takut dan trauma dengan ilmu sains dan juga matematik.

“Jadi, apabila pelajar-pelajar ni naik ke peringkat lebih tinggi, mereka menjadi bimbang, tidak berminat dan kehilangan motivasi kerana beranggapan dua subjek tersebut merupakan ilmu untuk orang yang pandai sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian terbaharu KPM mendapati minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran itu menurun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN