Taib Mahmud sudah pulih, masih dalam fasa rehat 

Taib Mahmud sudah pulih, masih dalam fasa rehat 

ABANG Johari Tun Openg ketika ditemui media selepas hadir melancarkan Majlis Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Berdasarkan laporan terkini hospital, keadaan kesihatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud stabil, sudah pulih dan masih lagi berehat, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Ujar Abang Johari, Abdul Taib sebelum ini dilaporkan jatuh sakit semasa berada di luar negara ketika bercuti. 

“Kita dah buat kenyataan menerusi Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Penjelasannya begini, dia dalam tempoh bercuti, dan jatuh sakit di luar negara. Bagaimanapun, keadaannya sekarang sudah pulih dan masih rehat berdasarkan laporan terkini pihak hospital, itu saja dan dia akan balik ke Sarawak,” tegasnya kepada media ketika diminta menggulas status terkini kesihatan Abdul Taib. 

Semalam, tular dalam media sosial memaparkan penerbitan satu poster hitam putih tertera nama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud daripada sebuah media tempatan yang melaporkan berita ‘pemergian’ beliau. 

Bagaimanapun, media tempatan tersebut menafikan penerbitan poster terbabit dan mengesahkan ia adalah tidak benar. 

Sementara itu, Astana Sarawak dalam kenyataan medianya hari ini memberitahu keadaan kesihatan Abdul Taib Mahmud kini stabil dan sedang menjalani pemulihan di luar negara.

“Pihak Astana, sekali lagi ngin memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa keadaan Tun semakin pulih dan insya-Allah, dengan nasihat doktor, beliau akan pulang tidak lama lagi.

“Kita berharap agar rakyat bersabar dan tidak mudah terpedaya dengan berita spekulasi yang tidak sahih mengenai kesihatan Abdul Taib yang terkini,” tambahnya. 

Baru-baru ini, Sharifah Hasidah dalam satu kenyataan media turut menjelaskan Abdul Taib jatuh sakit semasa berada di luar negara dan turut dalam fasa pemulihan. 

Sharifah Hasidah dalam kenyataannya berkata, keadaan itu tidak memerlukan pelantikan pemangku bagi Yang Dipertua Negeri Sarawak. 

“Walaupun tidak berada di dalam negeri, Abdul Taib sentiasa berkomunikasi dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan dapat melaksanakan tugas-tugas rasmi. 

“Kerajaan negeri akan sentiasa dimaklumkan tentang status kesihatan beliau dan tindakan selanjutnya akan berpandukan Undang-Undang Tubuh Negeri serta kepentingan Sarawak,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya