Syarikat AS terokai peluang perniagaan, pelaburan di Perlis

Syarikat AS terokai peluang perniagaan, pelaburan di Perlis

RAJA Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan sumbangan zakat bernilai RM5,000 kepada Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.-Foto Ihsan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengalu-alukan syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat (AS) untuk menerokai peluang perniagaan dan pelaburan di Perlis.

Baginda bertitah, peluang pelaburan baharu yang disediakan oleh Perlis boleh dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat tersebut bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Syarikat-syarikat di AS khususnya yang sudah memiliki industri atau kilang di Malaysia dan berhasrat untuk mengembangkan lagi perusahaan masing-masing dialu-alukan untuk meneroka peluang-peluang pelaburan baharu yang disediakan di negeri Perlis,” demikian titah baginda menurut siaran media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan ‘Sumbangan Ibnu Sabil MAIPs’ kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, California, AS semalam.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menyerahkan sumbangan zakat bernilai RM5,000 tersebut kepada Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.

Tabung Ibnu Sabil disumbangkan oleh pihak MAIPs kepada beberapa buah pejabat perwakilan negara di luar negara terpilih bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal mahupun meneruskan perjalanan.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail,

Turut hadir adalah Naib Presiden Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Los Angeles, Akbal Setia dan Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Los Angeles, Irvin Francis.

Sementara itu, Anil Fahriza berkata, Perlis merupakan salah satu negeri yang mendapat manfaat pelaburan berdasarkan kedudukan strategik berhampiran sempadan Thailand, kekuatan sektor agrikultur dan pembangunan lojistik yang menyeluruh.

Jelasnya, kewujudan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang sedang dibangunkan akan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di negeri tersebut dan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta berteknologi tinggi.

“Di antara syarikat-syarikat dari AS yang melabur di Perlis adalah Jabil (elektrikal dan elektronik), Mediquip yang dimiliki oleh Cardinal Health (sarung tangan getah serta peralatan kesihatan) dan Iriichi iaitu syarikat usahasama di antara Iriichi Technology dan Sojitz America (elektrikal dan elektronik),” katanya.

Tambahnya, sektor-sektor yang disasar seperti green manufacturing, renewable energy dan industri halal adalah selari dengan pendekatan yang dibawa oleh pentadbiran AS, di mana mereka turut mengalakkan pertumbuhan ekonomi bersih serta hijau.

“AS merupakan salah satu rakan dagang utama Malaysia. Pada tahun 2022, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan jumlah  AS$60.71 (RM267.59 billion), peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun 2021.

Eksport ke AS mencatatkan rekod tertinggi dengan perkembangan 10.6 peratus kepada AS$37.96 billion (RM167.16 billion) manakala import daripada AS mencatatkan perkembangan 26.2 peratus iaitu AS$22.75 billion (RM100.42 billion),” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya