PETALING JAYA: “Saya melihat Mohd. Syahir Sulaiman cuba menahan diri dari rasa kagum kerana Kerajaan Perpaduan sekarang berjaya membangunkan program-program ekonomi baharu dalam tempoh lapan bulan sedangkan mereka 33 bulan mentadbir tiada penyelesaian”.
Demikian dakwaan Menteri Ekonomi, Rafzi Ramli susulan pertembungannya dengan Ahli Parlimen Bachok itu dalam Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia, malam tadi.
Rafizi berkata, kerangka Ekonomi Madani yang dibentangkan sebelum ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menganjakkan ekonomi negara untuk memberi pil-pil ekonomi yang lebih radikal untuk menyelesaikan masalah-masalah pokok.
“Sebahagian pil-pil ekonomi telah pun dilancarkan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang merupakan industri yang mendapat pelaburan tertinggi di dunia. Selain mencipta peluang-peluang ekonomi, ia juga boleh menjadi daya tarikan kepada pelabur-pelabur kerana banyak syarikat berteknologi tinggi yang mahukan tenaga bersih untuk memindahkan operasi mereka ke negara ini.
“Begitu juga dengan Dasar Gaji Progresif yang akan menaikkan gaji kerja awam dan swasta. Untuk pengetahuan, ini adalah kali pertama kerajaan campur tangan dalam menetapkan gaji semua pekerja.
“Kesemua ini bukan lagi rancangan, tetapi ia merupakan program-program yang dilancarkan berdasarkan kerangka baharu Ekonomi Madani,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, perdebatan antara Mohd. Syahir dan Rafizi menjadi tumpuan orang ramai terutama pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Negeri, Sabtu ini.-UTUSAN