PETALING JAYA: Jururunding bebas yang dilantik Jawatankuasa Mengurus Komuniti (JMC) Blok A, Bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama dekat sini akan mengemukakan hasil siasatan berhubung runtuhan struktur konkrit dua minggu lagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, setakat ini kawasan berkenaan ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan sehingga laporan penuh diterima daripada jururunding bebas.
“Bagaimanapun kita memberi ruang kepada pemilik premis untuk masuk dan mengeluarkan barang-barang urusan mereka tetapi dilakukan secara berperingkat, kecuali bagi aras empat kerana sangat berisiko.
“Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak mendekati bangunan berkenaan kerana ia adalah kawasan bencana,” katanya ketika melawat lokasi kejadian, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Dalam pada itu, Allaudeen berkata, pihaknya setakat ini menerima tujuh laporan daripada pemilik kenderaan yang terjejas akibat runtuhan konkrit terbabit.
“Kita menyeru mana-mana pemilik kenderaan yang terjejas untuk membuat laporan polis. Berdasarkan kejadian semalam, sebanyak 10 kenderaan yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, Kamarulzaman berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengeluarkan surat kepada pemilik bangunan berdekatan untuk melantik jururunding bagi melakukan pemeriksaan berkala.
“Memang ada daripada segi perundangan, bangunan bertingkat harus melakukan pemeriksaan berkala setiap lima tahun sekali.
“Kita akan keluar surat peringatan buat pemilik bangunan untuk mereka melakukan pemeriksaan berkala secara berterusan, ada yang akur malah ada juga yang kurang akur dengan arahan berkenaan,” katanya.
Media semalam melaporkan sebanyak 10 kenderaan rosak teruk akibat dihempap runtuhan konkrit di Blok A, bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.59 malam.-UTUSAN