SPR selesai semak peralatan mengundi, gesa 9.6 juta pengundi

SPR selesai semak peralatan mengundi, gesa 9.6 juta pengundi keluar mengundi esok

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika meninjau proses pengundian awal di Pusat Pengundian Awal Dewan D’Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam semalam. – Utusan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjalankan semakan peralatan mengundi menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Ia melibatkan 3,190 pusat mengundi dan 17,048 tempat mengundi (saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian serta 153,760 orang petugas di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan termasuk 1,995 orang petugas bagi Parlimen Kuala Terengganu di 41 buah pusat mengundi yang mengandungi 217 tempat mengundi (saluran).

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, peralatan yang disemak adalah peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian.

“Semakan ini untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik. Kesemua peralatan ini diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi bagi setiap tempat mengundi (saluran).

“Seramai 9,674,456 orang pengundi yang bakal mengundi dalam PRN kali ini dan bagi Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang pengundi. SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan.

Ikmalrudin juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Semasa hari mengundi, Ikmalrudin berkata, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan mengikut jadual masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan. Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan kerani pengundian pertama untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian dan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak lain selain petugas pilihan raya.

Justeru, katanya, pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal MySPR Semak atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Para majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Pada masa sama, SPR melarang penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran), namun menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

Bagi pengundi yang positif Covid-19, SPR menyarankan supaya berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian kelak.

Pada masa sama, semua pengundi, calon dan petugas juga dilarang memakai baju, topi pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggar peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya