KUALA LUMPUR: Pemilihan Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan pengalaman, integriti dan kemahiran yang dinilai bahagian tertinggi bahagian pengurusan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, terdapat beberapa nama lain turut diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Pengarah JSJ.
“Pemilihan nama dibuat oleh saya dan Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay) untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut mengikut senioriti, pengalaman, umur dan integriti.
“Kita bukan memilih secara ‘hand-picked’ tetapi kita ada beri tiga atau empat nama pegawai dalam pemilihan ini,” kata beliau pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut beliau, prestasi dan soft kill yang ditunjukkan Shuhaily memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk memilihnya memegang jawatan tersebut.
“Beliau pernah menjadi Pegawai Perhubungan Keselamatan (SLO) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Washington, Amerika Syarikat selama tiga tahun, kemudian menjadi Ketua Polis Daerah Teluk Intan.
“Beliau juga memegang jawatan Ketua Polis Pulau Pinang serta Ketua Polis Kuala Lumpur. Justeru, saya yakin beliau akan memberi komitmen dan momentum yang sama khususnya di Jabatan Siasatan Jenayah amnya kepada PDRM,”katanya.
Dalam majlis sama, Razarudin menyempurnakan pemakaian lencana pangkat pada Shuhaily .
Beliau mengisi kekosongan jawatan itu selepas Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun lalu.
Mengulas lanjut berkenaan tempoh yang diambil untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut, Razarudin memaklumkan terdapat beberapa proses yang perlu dilalui untuk melantik individu yang sesuai.
“Terdapat empat atau tiga nama yang diberikan dan perlu tapisan sebelum diserahkan kepada KDN,” jelasnya.- UTUSAN