Serlahkan identiti Pekan bandar diraja

Serlahkan identiti Pekan bandar diraja

IDENTITI Pekan sebagai bandar diraja perlu ditonjolkan selepas daerah berkenaan dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Pekan (MPP) berkuatkuasa 30 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Identiti Pekan sebagai bandar diraja perlu ditonjolkan dan diserlahkan selepas daerah berkenaan dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Pekan (MPP) berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk dari kampung Tasik Mentiga, Akid Huat, 65, berkata, kemudahan di Pekan perlu dinaik taraf supaya bandar ini mempunyai identiti diraja sebagai contoh pondok bas dibina bercirikan tradisi Raja-raja Melayu seperti bentuk tanjak.

“Bandar ini menyimpan budaya dan peradaban kesultanan Raja-raja Melayu yang merupakan aset warisan bangsa yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

“Jika bandar diraja ini ditonjolkan identiti, keistimewaan serta keindahan warisan diraja, ia boleh dijadikan antara lokasi tarikan pelancongan khususnya pelancong asing,” katanya di sini semalam.

Untuk rekod, Majlis Daerah Pekan (MDP) ditubuhkan pada 1 Julai 1988.

MDP Dilancarkan secara rasmi oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang pada 3 November 1990.

Penduduk Kampung Pulau Jawa, Azlan Mohamed, 65, berharap MPP dapat memberikan perkhidmatan yang efisien bagi memantapkan pembangunan bandar Pekan khususnya daripada segi fizikal dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Rakyat juga menuntut MPP memberikan dan melaksanakan perkhidmatan berkualiti demi kecemerlangan, kepuasan dan keselesaan penduduk serta pengunjung termasuk pelancong asing ke bandar diraja ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nazeri Yaakob, 64, dari Kampung Serambi berharap MPP dapat menggilap potensi sektor pelancongan kebudayaan di daerah Pekan.

Menurutnya, Pekan banyak artifak sejarah dan alam semula jadi seperti tasik, pulau, pantai, songket Pahang Diraja dan lain-lain boleh dieksploitasi seperti Muzium Negeri, Makam Sultan Muhamad Shah dan Masjid Putih.

Seorang penduduk dari Kampung Gancong, Kamaruddin Ahad, 65, berkata, lebih membanggakan daerah itu dinaik taraf menjadi MPP sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke-64.

“Saya berbangga Pekan tempat saya dilahirkan dan mendapat pendidikan semakin berkembang maju, selesa, dan apa yang penting selamat didiami dan dikunjungi,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya