ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyarankan supaya pihak pengurusan dapat menyelia dan menguruskan tanah perkuburan Islam secara lebih tersusun, teratur dan selesa dikunjungi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, aspek pengurusan bukan sahaja lebih sistematik, malah perlu diperindahkan dengan tanaman serta dilengkapi dengan kemudahan awam.
Menurutnya, setakat ini tanah perkuburan Islam bersepadu di Pasir Gudang telah siap dibangunkan, manakala di Padang Tembak, Kluang sedang dalam proses diusahakan.
“Perancangan tanah perkuburan Islam bersepadu ini bagi menyediakan kawasan yang lebih luas dan bersifat berpusat serta boleh diakses dari mana-mana kawasan berhampiran.
“Lebih menarik, tanah perkuburan ini sangat tersusun dan diperindahkan dengan tanaman hijau, seolah-olah sebagai sebuah taman,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Fared memberitahu, tanah perkuburan bagi umat Islam ketika ini masih mencukupi di semua daerah
Katanya, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersedia melakukan proses pengambilalihan tanah sekiranya sesuai dan diperlukan bagi tujuan tanah perkuburan.
“Kita sudah mengenal pasti kawasan baharu di setiap daerah, mukim dan kampung termasuk tanah yang ingin diwakafkan. Lokasi itu akan dibawa ke pengetahuan Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor.
“Jika tidak cukup, kerajaan negeri menerusi MAINJ boleh beli tanah itu untuk pastikan kita sentiasa memenuhi keperluan masyarakat,” katanya. – UTUSAN