Sekolah tentukan tindakan disiplin, gantung atau buang - Exco - Utusan Malaysia

Sekolah tentukan tindakan disiplin, gantung atau buang – Exco

TUJUH pelajar diperintahkan ditahan reman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret, Johor Bahru kerana disyaki memukul seorang pelajar lain, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan disiplin termasuk gantung atau buang sekolah boleh dikenakan terhadap sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wangsa yang didapati bergaduh dan memukul seorang pelajar lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh bagaimanapun berkata, tindakan tersebut perlu menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menerusi Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang akan membantu pihak sekolah menjalankan siasatan tentang kejadian itu.

“Pelajar terlibat belum boleh dihukum gantung atau dibuang sekolah, kita perlu tunggu keputusan mahkamah sama ada mereka bersalah atau tidak.

“Walau bagaimanapun, pihak sekolah boleh mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya,” katanya mengulas pergaduhan sekumpulan pelajar yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu, ketujuh-tujuh remaja yang terlibat dalam insiden itu direman selama dua hari bermula hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun, manakala punca pergaduhan dipercayai kerana berebut seorang teman wanita

“Polis menerima laporan mangsa yang berusia 15 tahun pada pukul 4.09 petang semalam mengatakan dia ditendang, dipijak dan ditumbuk beberapa kali pada bahagian badan, perut, tangan dan paha oleh tujuh remaja lain.

“Pengadu memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 3 petang, 9 Ogos lalu. Akibat kejadian berkenaan, dia mengalami lebam, bengkak dan sakit di beberapa bahagian badan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya