KOTA KINABALU: Hampir 1,000 penduduk di Sabah Forest Industries (SFI), Sipitang merayu supaya kerajaan campur tangan bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku di kawasan perumahan mereka.
Selepas tiga bulan bergelap kerana bekalan elektrik dipotong, maka, penduduk merayu agar kerajaan dapat membantu menyambung semula bekalan elektrik di situ.
Wakil penduduk SFI, Jeffridin Baudi berkata, ketiadaan bekalan elektrik bukan hanya menjejaskan penduduk, tetapi juga mengganggu proses pembelajaran tiga buah sekolah yang berada di kawasan berkenaan.
“Terdapat 674 orang ketua isi rumah yang masih tinggal di perumahan pekerja SFI ini dan penduduk yang masih tinggal di sini adalah mereka yang tidak mempunyai rumah atau tanah untuk berpindah ke tempat lain, itu sebabnya mereka kekal berada di sana.
“Jika diusir, dimana mereka mahu tinggal? Ada sebahagian yang mempunyai tanah sudah berpindah keluar.
“Tapi, yang masih tinggal disitu adalah golongan yang tidak mempunyai rumah mahupun tanah. Sekalipun dibunuh di situ, mereka sanggup kerana mereka tidak punya tanah dan rumah di tempat lain,” katanya semasa menghadiri demonstrasi aman di hadapan Menara Kinabalu di sini hari ini.
Menurut beliau, mereka berhimpun hari ini bagi menyampaikan petisyen kepada Ketua Menteri Sabah agar dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di rumah pekerja SFI itu.
Petisyen itu disampaikan kepada Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Arthur Sen kerana Ketua Menteri terlibat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Jeffridin berkata, perintah mahkamah juga dikeluarkan pada 22 Jun lalu agar tindakan pengusiran ditangguhkan sehingga kes mahkamah membabitkan SFI selesai sepenuhnya.
Di samping itu, kerajaan juga diminta untuk memberi arahan untuk menghentikan aktiviti pembalakan yang sedang berlaku di tanah milik SFI kerana dikhuatiri ia akan mendatangkan masalah pada masa akan datang.
Sekiranya aset iaitu kayu balak milik SFI sudah tiada, sudah pasti pelabur tidak jadi datang untuk melabur dan keadaan ini menimbulkan kebimbangan.
Jelas beliau, kilang SFI berhenti beroperasi sejak 2017 dan kebanyakan mereka sukar mencari pekerjaan lain kerana ramai yang sudah berusia. Jadi, mereka hanya melakukan kerja-kerja kampung.-UTUSAN
110823-Sbh-petisyenElektrik
1-PENDUDUK di SFI, Sipitang melakukan demonstrasi aman di hadapan Menara Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini
2-JEFFRIDIN Baudi (kanan) menyampaikan petisyen kepada Arthur Sen (dua kanan) di hadapan Menara Kinabalu hari ini