MARAN: Kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia akibat tercekik rambutan di Kampung Sungai Ling, Chenor di sini kira-kira pukul 6.50 petang kelmarin memang teringin makan buah-buahan itu tetapi dihalang ahli keluarga kerana mengalami batuk sejak sebulan lalu.
Menurut ibunya, Suriani Tahir, 48, anaknya, Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam, 9, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir di sini yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik sering kali meminta dibelikan rambutan.
Namun katanya, dia dan suami, Mohd. Nizam Othman, 51, buat tidak endah sahaja permintaan Nur Iman Fitriah yang lebih mesra dipanggil Acu bagi mengelakkan masalah batuk dialaminya menjadi lebih teruk.
“Bagaimanapun petang kelmarin, sepupunya, Nor Shakirah Abd. Rahim, 20, datang ke rumah dan mengajak makan rambutan di rumah jiran.
“Baki rambutan itu dibawa pulang dan dia makan bersendirian di muka pintu dapur. Saya dan Nor Shakirah ada di rumah semasa kejadian manakala bapanya sedang meracun rumput di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Suriani berkata, dia dan Nor Shakirah tidak menyedari Acu tercekik rambutan kerana tiada kedengaran suara dan aksi mencurigakan.
“Dia menghampiri kami tetapi mukanya sudah biru dan tubuhnya lemah. Kami sangat terkejut dan berusaha pelbagai cara untuk mengeluarkan buah rambutan yang tercekik di kerongkong Acu.
“Kami bergegas membawa Acu ke Klinik Kesihatan Pekan Tajau kira-kira lapan kilometer dari Kampung Kerayong Bukit Chempedak tetapi Acu tidak dapat diselamatkan.
“Saya dan keluarga reda dengan ketentuan Allah SWT dan memohon orang ramai sedekahkan al-Fatihah kepada Acu anak syurga kami yang manja. Kami kehilangan orang tersayang yang menceriakan kehidupan kami,” katanya sebak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pada pukul 11 pagi semalam. – UTUSAN